Tuesday, December 18, 2012

SPA Putrajaya FC optimis tanpa kelibat awang import

Harian Metro


PENDATANG baru Liga Perdana 2013, Kelab Bola Sepak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA Putrajaya FC) optimis mampu bersaing dengan pasukan lain walaupun tanpa pemain import.

Pengurus pasukan, Nizam Jamil berkata, hampir 50 peratus muka lama dikekalkan selain mengambil beberapa pemain baru berpengalaman untuk memantapkan skuad juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2012 itu bagi saingan musim depan.



“Kami yakin dengan kehadiran pemain baru berpengalaman selain perlawanan pramusim, kami mampu memberi saingan kepada pasukan lain dalam Liga Perdana walaupun tanpa khidmat pemain import,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain skuad itu yang disempurnakan Pengerusi SPA merangkap penaung kelab, Tan Sri Mahmood Adam di Putrajaya, semalam.

Antara pemain berpengalaman yang menyertai kelab yang ditubuhkan pada 2005 itu ialah bekas pemain Harimau Muda B, Gan Jay Han, bekas kapten Kuala Lumpur, Mohamed Aslam Haja Najumudden dan bekas pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Arsyah Mohd Ayob.

Nizam yang juga bekas pemain Selangor berkata, pasukan itu berhasrat melayakkan diri buat julung kali ke Piala Malaysia.

“Saya harap kami mampu menjadi empat pasukan terbaik Liga Perdana musim depan sekali gus layak ke Piala Malaysia selain memberi saingan sengit kepada pasukan negeri.

“Untuk saingan Piala FA, kami tidak meletakkan sasaran tinggi memandangkan akan bertemu Terengganu pada pusingan pertama, namun saya harap pemain mampu memberi persembahan terbaik.” Sementara itu, ketua jurulatih pasukan, Mohd Shah Norbit berpuas hati dengan persiapan anak buahnya untuk menghadapi cabaran musim depan melalui enam perlawanan persahabatan.

Daripada enam perlawanan itu, pasukan itu menang tiga kali, termasuk mengalahkan Selangor 2-1, satu seri dan dua kalah. - Bernama

1 comment:

  1. uda.ghazali@yahoo.com.myJanuary 8, 2013 at 9:56 PM

    kami warga Putra jaya berharap supaya liga atau piala fa dapat dimainkan diputrajaya dan kami sebagai penyokong berharap dengan adanya perlawanan di Putrajaya dapat memberi sokongan yang lebih padu kepada pasukan ini.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...