Sumber: Harian Metro Online
GANDINGAN Daniel Guiza dan Safee Sali yang dipertaruhkan ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mula menunjukkan keserasian apabila saling membantu bagi menghasilkan gol pada Kejohanan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Larkin, kelmarin.
Apapun bagi pemain import termahal kancah Liga M musim depan, Guiza yang memiliki reputasi tinggi selaku pemenang Kasut Emas La Liga Sepanyol ketika bersama Real Mallorca musim 2007 menganggap masih terlalu awal untuk melabelkan dia dan Safee penyerang paling digeruni.
“Ini baru permulaan dan belum lagi ada persefahaman jitu namun saya puas hati dengan aksi Safee sepanjang babak pertama apabila bijak mencari ruang kosong sebelum bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti. Jika ada dua atau tiga lagi perlawanan mungkin saya akan serasi dengan corak permainan Safee.
“Hasil gerakan kami, saya dan Safee berjaya menjaringkan gol. Pada saya kombinasi begini amat penting dalam setiap perlawanan,” katanya.
Fandi yang sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama mempunyai alasan sendiri kerana kedua-dua pemain itu belum mencapai tahap kecergasan memuaskan selepas mengharungi kempen Piala AFF bersama skuad Harimau Malaya baru-baru ini.
“Mat Yo dan Aidil Zafuan belum 100 peratus cergas dan saya tidak mahu ambil risiko untuk menurunkan mereka sepanjang 90 minit perlawanan. Apapun saya memasukkan mereka di babak kedua dan corak permainan yang disajikan tidak mengecewakan malah Mat Yo mampu mencipta jaringan.
“Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan persembahan pemain kerana dalam tempoh 10 hingga 15 minit di babak pertama, masih ada kelonggaran yang dipamerkan namun semuanya dapat diatasi selepas pemain mula menunjukkan kesungguhan dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Skuad bergelar Harimau Selatan itu layak ke final saingan itu dan akan beraksi malam ini sama ada bertemu Pahang atau Johor dan barisan Fandi perlu melakar kejuaraan pada kejohanan yang julung kali diadakan dan berjaya menggamit kehadiran lebih 20,000 penyokong untuk membanjiri stadium.
“Saya berterima kasih kepada penyokong yang hadir dan ini isyarat kepada saya dan pemain untuk memberi persembahan terbaik sepanjang kempen Liga M bermula bulan depan.”
go johor a.k.a. harimau selatan!
ReplyDelete