JAKARTA: Kerajaan Indonesia membentuk satu pasukan bertindak untuk mengelak atau sekurang-kurangnya meminimumkan tindakan penggantungan Fifa selepas gagal menyelesaikan pertikaian antara dua badan bola sepak negara itu.
Suasana bola sepak negara itu dicemari perbalahan membabitkan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dan Jawatankuasa Penyelamat Bola Sepak Indonesia (KPSI) hingga menyebabkan Fifa mengancam untuk menggantung mereka di peringkat antarabangsa andai gagal diselesaikan Isnin lalu. Bagaimanapun, ancaman penggantungan Fifa nampaknya tidak memberi kesan. Justeru badan induk bola sepak dunia itu akan menentukan nasib Indonesia pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Tokyo, esok.
Pemangku Menteri Sukan Indonesia, Agung Laksono berkata, pasukan bertindak terdiri daripada lima anggota itu akan berunding dengan pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian secepat mungkin, demikian menurut Jakarta Globe.
“Pasukan ini akan berunding dengan Fifa dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk mencari jalan terbaik mengelak digantung Fifa atau sekurang-kurangnya mengurangkan hukuman,” kata Agung yang dipetik agensi berita Antara.
Pada satu ketika, Indonesia mempunyai dua pasukan kebangsaan dan dua liga domestik dan pemain tidak boleh bertanding dalam dua liga itu pada satu masa.
PSSI dan KPSI menandatangani memorandum persefahaman Jun lalu di pejabat AFC, setuju untuk menganjurkan satu liga saja musim depan dan mengadakan kongres pada 10 Disember namun ia tidak menjadi kenyataan. - Reuters
No comments:
Post a Comment