PEMAIN Pahang, Mohd Azamuddin Akil tidak berasa tergugat walaupun dua penyerang import akan beraksi bersama skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Sebaliknya, Azamuddin yang lebih dikenali sebagai Alex menganggap kehadiran dua pemain luar itu dan beberapa pemain ‘import’ tempatan tidak menjejaskan peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama.
Azamuddin tidak bimbang dengan situasi itu kerana yakin dengan kemampuan diri dan menganggap kehadiran mereka sebagai persaingan sihat.
“Kehadiran mereka memberi lebih motivasi kepada saya untuk meningkatkan kualiti permainan terutama merebut kesebelasan utama Pahang.
“Saya sedia diletakkan di posisi mana sekalipun, bergantung kepada jurulatih (Dollah Salleh) biarpun lebih banyak beraksi di bahagian serangan musim lalu.
“Saya sudah sedia untuk beraksi di bahagian serangan atau tengah,” kata pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu.
Musim depan, Pahang menyenaraikan dua penyerang import, Nikolce Kleckaroski dan Mohamed Borji, masing-masing dari Macedonia dan Maghribi.
Empat pemain luar pula membabitkan Mohd Nasril Nourdin dari Perak serta tiga bekas pemain Selangor, Mohd Razman Roslan, Azidan Sarudin dan Mohd Amirul Hadi Zainal.
Justeru, pemain berusia 27 tahun itu berazam memastikan satu piala berada di bumi Pahang biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi skuad Tok Gajah.
Menurutnya, kesungguhan semua pasukan menyenaraikan pemain berkualiti terutama import tidak menggerunkan pasukannya untuk meraih kejayaan.
“Saya harap Pahang mencatat kejayaan gemilang pada aksi Liga Super musim depan,” kata pemain tengah skuad Harimau Malaya itu.
No comments:
Post a Comment