KELAB Sime Darby FC sedia melupakan fenomena dicetus penyerang sensasi, Patrick Ronaldinho Wleh musim lalu sebaliknya menyandarkan kepada tonggak dari Croatia, Goran Perak dan Karlo Primorac bagi melaksana misi layak ke Liga Super 2014.
Kehilangan Ronaldinho yang berpindah ke PKNS FC pasti dirasai skuad kendalian Ismail Zakaria itu selepas pemain kelahiran Liberia itu meledak 19 gol musim lalu untuk membantu Sime Darby menamatkan kempen Liga Perdana di tangga ketiga serta muncul naib juara Piala FA.
Namun Ismail tetap yakin, pasukannya sudah menemui pengganti pemain itu dengan kehadiran dua permata baru, Perak dan Primorac.
“Ronaldinho sememangnya pemain yang baik tapi kami terpaksa melepaskannya kerana dia terikat dengan pasukan kebangsaan negaranya. Musim lalu dia tidak bermain tujuh perlawanan, saya percaya kalau dia bermain dalam perlawanan itu, kami sudah boleh menjadi juara (Liga Perdana).
“Kami kini memiliki pemain import dari Croatia iaitu pemain tengah, Perak dan penyerang, Primorac. Saya tidak menggunakan ejen sebaliknya menilai sendiri kemampuan pemain ini. Perak boleh bertindak sebagai perancang dan memiliki kualiti hantaran yang cukup baik manakala Primorac mempunyai kelebihan dari segi teknik,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan skuad Sime Darby seramai 31 pemain semalam.
Turut hadir, Presiden merangkap pengurus pasukan, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta pihak pengurusan kelab.
Akibat ramai pemain dipancing kelab luar, Sime Darby terpaksa melakukan rombakan besar-besaran dengan hanya mengekalkan tujuh pemain skuad 2012.
Namun itu tidak bermakna kemampuan kelab yang diberi jolokan ‘Pembunuh Gergasi’ itu kerana mencipta kejutan selaku kelab pertama mara ke final Piala FA musim lalu itu, harus diketepikan.
Ini kerana mereka juga berjaya memikat ramai pemain tempatan berwibawa iaitu kapten Juzaili Samion dari Felda United dan penyerang Fadzli Saari (T-Team) selain lima bekas pemain Perak, Syafiq Jamal, Khairi Zainuddin, Fahrul Razi Kamaruddin, Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Menurut Juzaili, kombinasi pemain dimiliki Sime Darby kali ini boleh membantu mereka mencapai misi juara Liga Perdana selepas tiga kali mencuba.
“Saya yakin kami mampu capai sasaran menjadi juara Liga Perdana musim depan. Memang sasaran itu masih jauh tapi kami akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
Sime Darby akan membuka tirai Liga Perdana 2013 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada 7 Januari.
No comments:
Post a Comment