PERTAHANAN kiri Kelantan, Mohammad Abdul Aziz Ismail kecewa kerana tidak dapat membantu skuad Red Warriors musim depan berikutan kecederaan lutut kanan ketika perlawanan persahabatan menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.
Kecederaan itu kali kedua dialami pemain berusia 24 tahun itu selepas mengalami kecederaan lutut kiri awal musim lalu yang memaksanya berehat panjang sehingga ke penghujung musim.
Berikutan kecederaan teruk lutut kanannya itu, dia terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, pada 2 Januari.
“Selepas pembedahan itu nanti, doktor menjangkakan saya terpaksa berehat panjang antara enam hingga tujuh bulan. Besar kemungkinan saya hanya boleh beraksi untuk saingan Piala Malaysia saja musim depan.
“Memang tidak dinafikan sedih dan kecewa kerana sekali lagi terpaksa berehat panjang yang menjejaskan impian saya membantu pasukan. Apa boleh buat, nasib tidak menyebelahi saya,” katanya, semalam.
Walaupun impiannya beraksi samar, Abdul Aziz tetap berharap semua pemain lain dapat mengekalkan kejuaraan tiga piala yang dimenangi selain menambah koleksi untuk musim depan, termasuk Piala AFC.
Menurutnya, dia yakin dengan kehadiran beberapa pemain baru seperti Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Zairo Anuar Zalani dan Mohd Faiz Subri serta bintang import berbakat dari Australia, Dimitri Petratos yang mampu menggalas misi mengekalkan kejuaraan musim depan.
“Saya yakin gandingan antara pemain lama dan pemain baru dapat membentuk pasukan mantap musim depan. Walaupun tidak dapat bermain dan hanya mampu memberi sokongan dari luar padang, saya tetap mengharapkan Kelantan menjadi pasukan digeruni,” katanya.
No comments:
Post a Comment