Monday, December 31, 2012

Cari pemain jangan pilih ‘bulu

Sumber: Utusan online
Shaharudin Abdullah, Syed Ahmad Abu Bakar
 
KUALA LUMPUR - Skuad Kebangsaan Harimau Malaya perlu bebas daripada amalan ‘pilih kasih’ dan membariskan pemain yang benar-benar berkelayakan sekiranya mahu pergi jauh dalam saingan peringkat antarabangsa.
 
Bekas pemain kebangsaan skuad Olimpik Munich 1972, Shaharudin Abdullah, 64, berkata, beliau mengakui bimbang dengan prestasi semasa skuad Harimau Malaya dan menggesa jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal merombak pasukan.
 
“Bukan tidak bagus tetapi macam ada pilih kasih, asyik-asyik pemain itu yang diturunkan, itu yang saya tidak berpuas hati kerana banyak lagi pemain yang berkelayakan tidak diturunkan dan dipilih dalam skuad kebangsaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
 

Beliau ditemui selepas menjadi salah seorang penerima dalam majlis penyampaian sumbangan Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Royal Selangor Golf Club di sini.
 
Katanya, pemain-pemain dalam skuad kebangsaan tidak sewajarnya dipilih berdasarkan kemasyhuran nama dan jumlah gaji yang diterima, sebaliknya dinilai berdasarkan prestasi semasa.
 
Menurutnya, antara punca kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF tahun ini kerana pemain-pemain gagal menunjukkan keserasian dan bersatu hati.
 
“Mat Yo (Norshahrul Idlan Tahala) dan Safee Sali antara yang saya nampak sudah hilang keserasiannya, mungkin kerana masing-masing hendak mencari nama sebab itu sudah tidak nampak mantapnya lagi," katanya yang merupakan salah seorang penyerang utama yang beraksi di Munich pada 1972.
 
Biarpun kini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik, Shahahrudin tetap menaruh harapan tinggi kepada skuad Harimau Malaya dan berharap semangat juang dan pengorbanan ‘orang-orang lama’ dapat dicontohi pemain-pemain muda.
 
Sementara itu, seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Syed Ahmad Abu Bakar, 66. turut bersetuju dengan rombakan pasukan kebangsaan dan menggesa Rajagobal turun bertemu dengan setiap jurulatih pasukan negeri dan kelab bagi mengenal pasti pemain-pemain berkelayakan.
 
“Saya masih ingat bagaimana jurulatih orang putih pada tahun 70-an, David MacLaren akan pergi ke setiap ceruk negeri untuk cari pemain-pemain. Itu adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk memastikan kejayaan," katanya yang merupakan penjaring utama bagi kelayakan Sukan Olimpik Munich.
 
Beliau yang akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Januari ini berharap skuad kebangsaan dapat bangkit daripada kekecewaan Piala Suzuki AFF tahun ini dan melakarkan kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...