Saturday, December 15, 2012

Santokh turut kritik mutu pengadilan tak ikut standard


KUALA LUMPUR - Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh mengkritik pengadil perlawanan, Lee Min-Hu ketika separuh akhir Piala Suzuki AFF Thailand menentang Malaysia kelmarin dengan menyifatkan pegawai perlawanan itu bertindak tidak mengikut standard.

Santokh menegaskan keputusan pengadil dari Korea Selatan, Lee Min-Hu melayangkan kad kuning kedua kepada Mohd. Fadhli Shas adalah tindakan tidak sewajarnya kerana pemain Harimau Malaya itu tidak melakukan kekasaran kepada pemain Thailand.




Katanya, tindakan pengadil itu menyebabkan Harimau Malaya beraksi tidak seperti yang dijangkakan berikutan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Mohd. Fadhli dikenakan tindakan keluar padang.

“Kad tidak sepatutnya diberikan kepada pemain Harimau Malaya kerana tiada kekasaran yang berlaku dan saya fikir pengadil tidak mencapai standard.

“Saya tetap puji permainan Malaysia dan berharap apabila mereka pulang nanti dapat memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.

Pada perlawanan kelmarin Min-Hu menjadi perhatian dengan tindakannya yang dianggap berat sebelah terutama apabila melayangkan kad kuning tanpa memberikan sebarang amaran lisan kepada Mohd. Fadhli hingga menyebabkan pemain itu terpaksa dikeluarkan dari padang kerana menerima kad kuning kedua.

Bukan itu sahaja Mahalli Jasuli turut dilayangkan kad kuning pertama sedangkan dua pemain negara, Amar Rohidan dan Norshahrul Idlan Talaha jelas disiku oleh pemain Thailand sebaliknya pemain lawan langsung tidak dikenakan sebarang tindakan.

Malah kebanyakan penyokong Harimau Malaya turut menyalahkan Min-Hu sebagai penyebab utama kekalahan skuad kebangsaan ke atas Thailand 0-2 pada perlawanan kelmarin.

Sementara itu, Santokh berkata, kekalahan kelmarin bukan penamat buat skuad Harimau Malaya mencipta kejayaan selepas ini.

Tambah Santokh, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal wajar diberikan peluang untuk mendapatkan kemenangan.

“Pada pandangan saya bagi dia (Rajagobal) sekali lagi peluang kerana dia sudah mempunyai pasukan yang serasi dengannya.

“Mungkin dia perlu diberikan dua tahun lagi kerana kekalahan ini tidak bermakna kita terus akan kalah lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...