Tuesday, December 18, 2012

‘Satu penghormatan’

Harian Metro

KIM SWEE


JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee kekal fokus dengan misi disandarkan di bahunya untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun ini biarpun namanya dicanang sebagai calon terbaik menggantikan Datuk K Rajagobal bagi membimbing skuad kebangsaan.

Kim Swee yang enggan mengulas lanjut isu terbaru itu berkata, tidak wajar untuk beliau membicarakan kedudukan rakan sejawatnya itu dan menganggap keutamaannya lebih terarah kepada persiapan skuad muda negara menghadapi Sukan Sea.



“Bagi saya, orang ramai termasuk Shebbie (Serbegeth Singh) dan juga peminat tempatan berhak menyuarakan pandangan tapi saya tidak berhak mengulas lebih lanjut perkara ini.

“Tumpuan saya kini ke arah persiapan skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) untuk menghadapi Sukan Sea Myanmar. Soal mengambil alih tugas Rajagobal sepatutnya tidak perlu timbul kerana ia langsung tidak dibincangkan sebelum ini. “Jika ada pihak mengaitkan nama saya dengan tugas itu, saya hanya anggap ia sebagai penghormatan tapi segala-galanya terserah kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Nama Kim Swee, 42, mula menjadi sebutan apabila kedudukan Rajagobal tampak terancam berikutan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand menerusi agregat 3-1 pada peringkat separuh akhir minggu lalu.

Antara yang lantang menyarankan agar tugas membimbing skuad kebangsaan diserahkan kepada Kim Swee termasuk bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Shebbie dalam laporan Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini bertugas sebagai Penasihat Global kelab yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers berkata, sudah tiba masanya untuk Rajagobal mengundur diri selepas kegagalan Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF dan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 serta persembahan hambar dalam beberapa siri persahabatan antarabangsa sejak bergelar juara Asia Tenggara dua tahun lalu.

Beliau menganggap Kim Swee yang berjaya membimbing skuad B-23 mempertahankan pingat emas dimenangi skuad Rajagobal di Sukan Sea Laos 2009 sebagai calon terbaik memandangkan jurulatih itu lebih mengenali pemain, khususnya daripada Harimau Muda A yang dilihat berpotensi beraksi bersama pemain senior.

Antara pemain muda yang menyerlah di bawah kendaliannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbart dan Mahali Jasuli.

Malah anak buah Kim Swee juga berjaya menduduki tempat keempat dalam penampilan pertama Liga Singapura serta muncul juara Piala SCTV menentang skuad B-22 Indonesia pada September serta mengungguli Kejohanan Bola Sepak Jemputan VFF Newspaper Cup di Vietnam, Oktober lalu.

Mengulas persiapan skuad Harimau Muda A yang menjadi tunjang skuad B-23 negara, Kim Swee berkata, mereka akan memulakan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Australia bulan depan sebelum berkampung di Eropah pada Mac.

“Harimau Muda A akan membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Sea dengan menimba pengalaman di luar negara dan saya yakin rancangan ini mampu membuahkan hasil,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...