Friday, December 14, 2012

Pengadil tak adil!

Harian Metro

KEKANG...Norshahrul (kiri)  dikawal setiap penjuru padang.


“BAGI saya keputusan pengadil itu tidak betul,” kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil, Lee Min Hu melayangkan kad merah kepada Mohd Fadhli Shas pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF malam tadi.

Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan itu memberi kesan kepada strategi Rajagobal yang menyaksikan Harimau Malaya terpaksa beraksi 10 pemain lebih 45 minit sebelum tewas 0-2.



Menurut Rajagobal, beliau tetap bangga dengan persembahan anak buahnya dan yakin keputusan mungkin boleh berubah sekiranya Fadhli kekal di atas padang.

“Kami bermain baik pada awal babak pertama meskipun Thailand melancarkan serangan mencari gol awal. Tapi segala-galanya berubah apabila Fadhli menerima kad merah, bukan mudah apabila kami kehilangan tonggak utama pertahanan.

“Keputusan perlawanan ini mungkin berbeza jika Fadhli tidak dibuang padang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai malam tadi, Malaysia terpaksa melupakan misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu apabila Thailand meledak dua gol menerusi jaringan Teerasil Dangda dan Teerathon Bunmathan pada minit ke-60 dan 65.

Gol itu hadir selepas Fadhli menerima kad kuning kedua pada minit ke-42 kerana didakwa bertelagah dengan Datsakorn Thonglao.

“Bagi saya, pengadil seharusnya lebih tahu dengan situasi itu dan beliau membuat keputusan yang salah.” Menurutnya, biarpun pasukannya beraksi dengan 10 pemain, Thailand hanya berjaya menjaringkan gol pertama atas kesilapan Amar Rohidan dan gol kedua yang menyusul selepas itu menyukarkan mereka untuk bangkit.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer pula enggan mengulas insiden kad merah itu sebaliknya hanya mahu memuji barisan pemainnya yang berjaya menempah tiket ke final bertemu Singapura.

“Saya tidak mahu komen, pada perlawanan pertama di Malaysia, saya dibuang padang sedangkan tidak bercakap dengan pengadil,” katanya yang sekadar menyaksikan perlawanan malam tadi dari bangku penonton.

“Kami pasukan lebih baik dan saya yakin kami boleh menewaskan Singapura di final.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...