Saturday, December 29, 2012

Modibo serasi bersama NS


Harian Metro

SELEPAS hampir dua bulan bersama skuad Negeri Sembilan, pertahanan import, William Paul Modibo kian selesa dengan tugas disandarkan kepadanya apabila berjaya membentuk persefahaman mantap dengan pemain tempatan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2013.

Modibo yang beraksi di posisi pertahanan tengah bergandingan dengan Mohd Fauzi Nan, Azmeer Yusof dan Abdul Ghani Rahman dalam beberapa perlawanan persahabatan dan gandingan mereka tampak menyerlah meskipun keputusan perlawanan kurang memberangsangkan.



Modibo menyedari tugas mencabar yang perlu digalas dalam pasukan itu, namun sudah sedia mempamerkan persembahan terbaik kerana mendapat kerjasama baik rakan sepasukan selepas menerima bimbingan ketua jurulatih, Divaldo Alves.

“Saya sudah dapat mencari rentak terbaik bersama rakan di posisi pertahanan dan kerjasama ini membuatkan saya selesa bersama pasukan ini serta bersemangat untuk menjayakan misi pasukan,” katanya.


“Bagaimanapun kami perlu meningkatkan prestasi sebelum saingan Liga Super bermula untuk memastikan kami mampu memberikan persembahan lebih cemerlang sekali gus mencatat keputusan memuaskan,” katanya.


Pemain berusia 33 tahun dari Cameeron itu mengaku berasa amat teruja untuk mempamerkan aksinya dalam Liga M kerana ini musim pertama beraksi di negara ini dan berazam mahu melakar sejarah tersendiri membantu Negeri Sembilan melakar kejayaan.

“Sebenarnya saya mula ditawarkan beraksi di sini oleh ejen sejak tiga tahun lalu tapi tidak berkesempatan kerana terikat dengan kontrak pasukan lama dan saya lihat Negeri Sembilan memiliki reputasi baik sebagai pasukan yang hebat kerana pernah menjulang Piala Malaysia selain memiliki ramai pemain berbakat.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...