Friday, December 14, 2012

Fadhli tak puas hati

Harian Metro


PEMAIN pertahanan negara, Mohd Fadhli Shas seakan-akan tidak percaya dengan tindakan pengadil perlawanan, Lee Min Hu yang melayangkan kad merah kepadanya selepas mendakwa disiku terlebih dulu pemain Thailand, Datsakorn Thonglao.

Angkara kad kuning kedua yang diperoleh pemain berusia 21 tahun itu pada minit ke-42, aksi Harimau Malaya tampak terjejas hingga tewas 0-2 kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Supachalasai malam tadi.



Kemenangan itu membolehkan juara tiga kali Thailand mara ke final buat kali keenam untuk bertemu Singapura, berbekal agregat 3-1.

Fadhli, tonggak skuad juara Piala AFF 2010, memohon maaf atas insiden itu namun menjelaskan ia tidak sepatutnya berlaku jika pengadil bertindak lebih adil.

“Saya tidak tahu apa punca pengadil memberikan kad merah kepada saya, beliau sepatutnya lebih adil dalam membuat keputusan. Beliau sepatutnya melihat apa yang berlaku sebenarnya. Saya hanya cuba mendapatkan bola tapi Datsakorn menyiku saya dan saya cuma menyuarakan rasa tidak puas hati kepada dia saja.

“Apapun saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas apa yang berlaku malam ini (semalam),” katanya yang ditemui wartawan selepas tamat perlawanan itu.

Ketiadaan Fadhli menyebabkan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mengarahkan pemain tengah bertahan, Amar Rohidan mengambil posisi pertahanan tengah.

Namun kekurangan seorang pemain memberi kelebihan kepada pasukan Gajah Perang itu yang menjaringkan dua gol menerusi Teerasil Dangda dan Theerathon Bunmathan pada babak kedua.

Fadhli yakin jika nasib malang tidak menimpanya, skuad kebangsaan mampu memberi tentangan dan mencapai keputusan baik ke atas Thailand.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...