Wednesday, December 19, 2012

‘Jangan usik Kim Swee’



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berganjak dengan pendirian untuk terus mengekalkan khidmat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Biarpun pengendali berusia 56 tahun itu gagal membantu Malaysia mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012, FAM memberi jaminan bahawa ‘kerusi panas’ itu masih menjadi milik Rajagobal.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan bahawa cadangan untuk melantik jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee untuk menggantikan tempat Rajagobal tidak wujud buat masa sekarang.



Menurut Azzuddin, FAM tidak akan menghukum Rajagobal hanya disebabkan gagal pada kempen Piala Suzuki AFF 2012, sebaliknya badan induk sukan bola sepak negara itu masih memerlukan khidmatnya.

Jelasnya, FAM juga tidak mahu pihak-pihak tertentu memberikan tekanan kepada Kim Swee dan beliau yakin jurulatih kelahiran Melaka itu akan terus melahirkan pemain-pemain muda berpotensi untuk diserapkan dalam skuad negara.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mahu menyingkirkan Rajagobal hanya disebabkan satu kegagalan.

“Apakah mereka sudah lupa jasa-jasa Rajagobal yang berjaya menamatkan penantian 20 tahun pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan muncul sebagai juara buat kali pertama Piala Suzuki AFF 2010.

“Kita sepatutnya menerima hakikat bahawa kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Saya yakin Rajagobal telah melakukan yang terbaik untuk skuad negara.

“Kim Swee merupakan seorang jurulatih yang cukup berwibawa. Buktinya, banyak bakat baharu dapat dicungkil, jadi FAM tidak akan sesekali mengganggu tugas Kim Swee.

“Mereka (pengkritik) boleh bercakap tetapi kita jangan mudah lupa jasa-jasa orang (Rajagobal),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin menggesa semua pihak agar tidak terus menimbulkan spekulasi terhadap kedua-dua jurulatih berkenaan.

“Hentikan spekulasi seperti ini. Mereka (Kim Swee dan Rajagobal) bekerja di bawah satu bumbung dan sepatutnya kita harus menghormati mereka, bukannya memecahkan keharmonian antara mereka.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...