Friday, December 21, 2012

Pahang ketengahkan enam muka baru

 
KUANTAN - Skuad Tok Gajah menjanjikan saingan pada kejuaraan Liga Super 2013 apabila menampilkan enam muka baru dalam pasukan itu.
 
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar V. V. Abu berkata, empat daripada muka baru itu adalah pemain tempatan dan dua pemain import dari Magribi dan Macedonia.
 
"Tiga pemain tempatan baru kita sebelum ini bermain dengan Selangor iaitu Mohd. Razman Roslan, Mohd. Amirulhadi Zainal serta Azidan Sarudin manakala seorang lagi adalah bekas penjaga gol Perak, Mohd. Nasril Mat Nordin.


"Dua pemain import baru kita pula ialah Nikolche Klechkaroski dari Macedonia yang sebelum ini bermain untuk kelab Shb Danang, Vietnam dan Mohamed Borji dari kelab Raji Beni Mellal, Magribi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan pemain Skuad Bola Sepak Pahang untuk sesi 2013 di sini, semalam.
 
Yang turut hadir Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh, penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan dan jurulatih, Dollah Salleh.
 
Tujuh belas lagi adalah muka lama antaranya, Jalalluddin Abu Jaafar, Azammuddin Mohd. Akil, R. Gopinathan, Mohd. Hafiz Kamal, Mohd. Zaiza Zainal Abidin, R. Surendren dan Mohd. Saiful Nizam Miswan.
 
Akbar berkata, sasaran skuad Tok Gajah mendapat kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2013 dan memasuki final Piala Malaysia.
 
Sementara itu, Dollah berkata, beliau yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit pada kejohanan Liga Super 2013 di mana perlawanan pertama mereka adalah pada 8 Januari depan bertemu Johor Darul Takzim.
 
"Prestasi pemain-pemain termasuk dua pemain import baru cukup membanggakan terutama selepas mereka melalui tiga perlawanan persahabatan di Hong Kong baru-baru ini," ujarnya.
 
Mengenai perlawanan pertama Liga Super bertemu Johor Darul Takzim, beliau berharap penyokong skuad Tok Gajah akan membanjiri Stadium Darul Makmur bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...