Wednesday, December 26, 2012

Johor yakin kemampuan 3 penjaga gawang



JOHOR BAHRU - Sejak Johor Darul Takzim memulakan pembelian pemain berstatus bintang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan, usaha mendapatkan khidmat penjaga gol ternama tidak pernah timbul.

Ini kerana, skuad yang dikenali dengan gelaran Harimau Selatan itu percaya dengan kemampuan tiga penjaga gol dimiliki pasukan selain mementingkan pemain yang mempunyai kualiti daripada ternama.



Tiga penjaga gawang dimiliki pasukan Johor Darul Takzim pada masa ini ialah bekas penjaga gol kedah dan USM FC, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Zamer Selamat dan Zulfadli Mohamad.

Bagi ketua jurulatih, Fandi Ahmad, ketiga-tiga mereka mempunyai kualiti penjaga gol yang baik terutama sekali Muhammad Al-Hafiz yang disifatkannya sebagai yang terbaik di negara ini.

Biarpun mempunyai fizikal yang dikatakan tidak sesuai ekoran berat badan yang bukan ideal, namun menurut Fandi, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram.

"Dia seorang penjaga gol yang bagus, tangkapannya juga kemas selain mampu merebahkan badan dengan baik untuk menangkap bola dengan fizikalnya sebegitu. Zamer dan Zulfadli juga sama bagus.

"Selain itu, ketiga-tiga mereka juga mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dan mampu berinteraksi dengan pemain di posisi lain," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada masa sama, Fandi turut mengakui skuad Harimau Selatan kini mempunyai beberapa pemain pertahanan yang baik sekali gus yakin ia mampu mewujudkan kerjasama hebat antara mereka dan penjaga gol.

Dalam pada itu, jurulatih penjaga gol Johor Darul Takzim, Khairul Azman Mohamad berkata, dia berpuas hati dengan prestasi ketiga-tiga penjaga gol yang dimiliki pasukan tersebut.

"Mereka menunjukkan komitmen yang baik selain turut memberi kerjasama antara satu sama lain. Saya tidak mempunyai sebarang masalah sejak mula melatih mereka bertiga.

"Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai jurulatih dan siapa yang dipilih untuk beraksi terserah kepada Fandi, namun kita sering berbincang," ujarnya yang merupakan bekas penjaga gol utama kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...