Wednesday, December 19, 2012

Aura Babic semakin dirasai


PILIHAN TEPAT: Gambar fail menunjukkan Ivan Babic bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Negeri.



Pemain dari Croatia itu pamer aksi mantap pada dua perlawanan persahabatan



KUCHING: Pemain baru Sarawak, Ivan Babic terus menunjukkan tanda bahawa Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan mengupahnya sebagai penggempur utama di dalam skuad negeri.

Permainan hebat yang dipamerkannya bersama ‘Ngap Sayot’ dalam dua perlawanan persahabatan telah membantu pasukan memperoleh keputusan yang baik.

Kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan dan seri 1-1 menentang Harimau Muda A sudah cukup menunjukkan bahawa skuad bimbingan Robert Alberts mampu bersaing.

Gol kemenangan dijaringkan oleh Bobby Gonzalez ketika menentang Negeri Sembilan adalah hasil umpanan bijak Babic.

Dalam temu-bual semalam, penolong jurulatih David Usop mendedahkan bahawa beliau dan Robert setakat ini berpuas hati dengan prestasi pemain dari Croatia itu selepas dua perlawanan sebelum ini.

Katanya, ia kelihatan seperti penyerang itu serasi di dalam pasukan.

“Dia mempunyai pemahaman yang baik dengan rakan sepasukan barunya dan lebih penting bersama rakan penyerangnya, Bobby.

“Mereka setakat ini hanya bergabung dalam satu perlawanan namun apa yang saya lihat semasa menentang Negeri Sembilan, ia adalah menggalakkan,” katanya.

Enggan mengulas lanjut, David turut menyakinkan peminat bahawa Babic adalah pemain yang tepat untuk mengisi peranan sebagai pemusnah.

Bagaimanapun, katanya persembahan Babic kini masih dalam pemantauan dan beliau berharap segalanya akan berjalan mengikut perancangan sebelum liga bermula.

Manakala, di posisi tengah, David mendedahkan bahawa Joseph Kalang Tie tidak mempunyai masalah bermain bersama Guy Bwele di mana pasangan itu telah menunjukkan tanda gabungan maut di bahagian penjana serangan.

Dalam jelajah Semenanjung Malaysia, skuad negeri dijadualkan menentang Selangor di Stadium Shah Alam esok (19 Disember), namun perlawanan persahabatan itu kini masih belum disahkan.

Perlawanan persahabatan seterusnya ialah menentang ATM pada Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...