Friday, December 28, 2012

Kim Swee congak persiapan pertahan emas


Sumber: Harian Metro Online

JURULATIH skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee meletakkan fokus untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Sea Myanmar tahun depan, yang dimenangi dua kali berturut-turut sebelum ini.

“Fokus utama saya ialah mempertahankan pingat emas Sukan Sea pada 2013 di Myanmar. Untuk mengekalkan satu kejuaraan sudah berat, apa lagi mempertahankan dua kejuaraan.



“Setiap pasukan mahu mengalahkan kami tapi kami sudah menyusun strategi sejak tahun lalu apabila menang di Jakarta, bagi mempertahankan kejuaraan,” katanya dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) www.aseanfootball.org.

Malaysia di bawah Datuk K Rajagobal muncul juara dengan mengalahkan Vietnam pada Sukan Sea 2009 di Laos dan diikuti pada 2011 di bawah kendalian Kim Swee dengan mengalahkan tuan rumah Indonesia.

Kim Swee berkata, pasukannya menunjukkan daya saing kental selepas memenangi pingat emas Sukan Sea selain Piala Thanh Nien awal tahun ini.


“Sudah tentu kami tidak boleh berehat kerana pasukan lain turut lebih maju. Sebab itu penting bagi kami menyertai kejohanan serantau bagi mengukur tahap dan menilai kualiti lawan.

“Tempoh akhir tiga bulan sebelum temasya di Myanmar penting kerana pada ketika itu, saya akan memiliki pemain utama dalam pasukan.” Harimau Muda A tidak akan bermain dalam Liga Singapura tahun depan bagi membuat persiapan mempertahan kejuaraan Sukan Sea.

Tempat mereka akan digantikan Harimau Muda B kendalian bekas pemain kebangsaan dan Kuala Lumpur, Razip Ismail.

Sebaliknya mereka akan mengadakan latihan selama lima bulan di Slovakia bermula 15 Mac hingga Ogos dan dijadual mengadakan 15 perlawanan persahabatan.

Sebelum itu mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan di Gold Coast, Australia dari 23 Januari hingga 6 Februari sebelum memulakan latihan di Slovakia.

Selepas kembali dari Slovakia, Harimau Muda A dijangka turut menyertai Pestabola Merdeka dan Piala Thanh Nien.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...