Thursday, December 13, 2012

PKNS FC idam satu piala

Harian Metro


SELEPAS meraih penamat memberangsangkan pada saingan Liga Malaysia musim lalu, pasukan berstatus kelab, PKNS FC meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya memenangi satu daripada tiga piala dipertandingkan musim ini.

Tampil kali pertama pada saingan Liga Super musim lalu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu wajar dipuji apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada 14 pasukan sekali gus muncul pasukan berstatus kelab terbaik berbanding Johor FC, T-Team serta Felda United.



Dengan suntikan peruntukan lebih besar, RM9 juta untuk tempoh semusim berbanding RM7 juta tahun lalu, kelab yang dinobat Kelab Bola Sepak Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/Astro/FAM 2011 itu turut menyasarkan untuk menduduki tempat kelima terbaik saingan liga musim ini.

“Bagi musim depan, kami menjangkakan saingan lebih sengit untuk meraih keputusan lebih baik. Pasukan berstatus elit seperti juara tiga piala, Kelantan, naib juara Piala Malaysia, ATM, LionsXII antara pasukan memberi cabaran kepada kami.

“Tapi kami tetap mahu meletakkan sasaran untuk muncul antara lima pasukan terbaik Liga Super serta sekurang-kurangnya memenangi satu daripada tiga piala dipertandingkan musim depan,” katanya yang ditemui pada majlis menandatangani kontrak, ikrar integriti dan pelancaran laman web PKNS FC, semalam.

Untuk saingan musim depan, selain dibarisi pemain sedia ada, PKNS FC juga mengambil 10 pemain baru serta diperkuat dua tonggak import iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Patrick Ronaldinho Wleh serta mengekalkan Helmi Loussaieff dari Perancis.

Untuk perlawanan pertama Liga Super, mereka akan bertemu Kelantan di Kota Bharu pada 9 Januari sebelum menentang LionsXII pada 25 Januari bagi saingan Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...