Saturday, December 29, 2012

‘Kami tuntut perubahan!’


Sumber: Harian Metro Online

Alfadli Awaluddin

BOSAN dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekian lama tidak berubah, sekumpulan peminat setia bola sepak tempatan tampil mendesak agar rombakan besar-besaran dilakukan badan induk itu termasuk meminta Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mengundur diri secara terhormat.



Bukan mahu bertindak biadap atau menderhaka, namun selepas sekian lama menyaksikan cerita sama ‘disajikan’ skuad negara pada pentas antarabangsa serta saingan liga domestik yang sering berubah format tapi tidak menunjukkan sebarang peningkatan, kumpulan yang rata-ratanya peminat setia bola sepak tempatan itu akhirnya memberanikan diri mendesak FAM melakukan rombakan besar-besaran.

Wakil kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan’ (PFSLJ) itu, Alfadli Awaluddin berkata, beliau serta rakan seperjuangan hanya mempunyai satu niat, membela dan berjuang demi kebaikan bola sepak tempatan.

“Sejak 28 tahun lalu (sepanjang kepimpinan Presiden FAM), kita sering diceritakan kesalahan barisan pemain, jurulatih serta soal teknikal apabila gagal dalam satu-satu kejohanan tapi apa yang kita tidak sedar ialah kegagalan itu banyak berpunca daripada pengurusan, pentadbiran dan struktur FAM sendiri.

“Contohnya seperti yang kita semua sedia maklum, skuad negara gagal mempertahankan Piala AFF dan episod sama berlaku iaitu kesalahan ditujukan kepada jurulatih serta pemain sedangkan sebenarnya pengurusan FAM harus bertanggungjawab,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap Presiden FAM perlu berundur bagi memberi peluang kepada individu lain mengemudi badan induk itu dengan pada masa sama mengharapkan berlakunya rombakan besar-besaran dalam FAM.

“Bukan kami tidak menghargai sumbangan Presiden tapi kadangkala kita perlukan idea baru bagi merancang masa depan bola sepak tempatan.

“Kekalahan membabitkan skuad negara sesuatu yang biasa bagi kami semua dan selama 28 tahun kami sering disajikan dengan kegagalan. Cukuplah semua ini,” katanya.

Alfadli turut menggariskan empat sebab utama mengapa tampuk FAM perlu dirombak.

Pertama, Liga Malaysia (Liga-M) didakwa Gred D dan tidak berdaya saing selain menganggap prestasi pasukan kebangsaan tiada hala tuju apabila mempersoalkan pendirian FAM yang menegaskan ranking tidak penting dan berasa pelik apabila badan induk itu hanya menetapkan sasaran sama di Sukan Sea dan Piala AFF tanpa berani menetapkan sasaran lebih tinggi.

Alfadli juga berkata, sistem bola sepak tempatan tiada visi dan misi yang jelas serta mendakwa pengurusan FAM tidak cekap serta tiada akauntabiliti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...