Monday, December 17, 2012

Bekas pemain sambut baik transformasi Johor



JOHOR BAHRU - Usaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk mengembalikan kegemilangan era bola sepak negeri ini disambut baik bekas pemain dan pengurus pasukan, sekali gus ia diharap bakal membuahkan hasil.

Tokoh pembangunan bola sepak Johor, Datuk Suleiman Mohd. Nor berkata, pendekatan mentransformasikan sukan bola sepak negeri ini yang dilakukan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu disokong semua pihak.

"Saya nampak sekarang ada perubahan dan ia ada satu perkembangan sihat dan baik. Kita harap usaha itu mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini selain menyemarakkan lagi industri bola sepak negara.


"Mari kita memberi sokongan ke atas usaha hebat PBNJ diketuai Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dan berharap ia mampu membuahkan hasil," katanya.

Beliau merupakan bekas Pengurus Pasukan Johor pada 1991 yang memenangi kejuaraan berganda, juara Piala Malaysia dan Piala Liga.

Beliau yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat masalah kesihatan sejak Jumaat lalu ditemuramah menerusi panggilan video di rumahnya yang turut dihadiri bekas pemain bola sepak negeri ini.

Terdahulu, satu majlis meraikan bekas pemain bola sepak Johor era 1950-an, 1960-an, 1970-an, bekas juara Piala Malaysia 1985 dan juara berganda 1991 diadakan di kediaman Suleiman di Stulang Laut di sini.

Pendapat sama turut disuarakan beberapa bekas pemain yang mahu melihat bukan sahaja pasukan Johor Darul Takzim, malah Johor juga bangkit dan menyemarakkan kembali kegemilangan bola sepak negeri ini.

Bagi bekas penyerang pasukan Johor pada awal 1970-an, Hassan Buyong, transformasi yang sedang dilakukan PBNJ sebenarnya memberi sinar baru bukan sahaja kepada industri bola sepak di negeri ini, malah peminatnya.

"Saya sudah lama tidak berasa teruja untuk menonton perlawanan bola sepak. Namun, sejak perkembangan terbaru yang berlaku ini, saya pasti bukan sahaja kami bekas pemain teruja tetapi ramai lagi," katanya.

Pemain yang terkenal dengan kelincahan semasa bermain untuk Johor itu berharap usaha yang sedang giat dijalankan pihak terlibat mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini seperti dikecapi sebelum ini.

Bekas Kapten Johor pada 1985, Kamarudin Ahmad mengakui gembira mendengar berita mengenai perkembangan terkini bola sepak negeri ini yang jelas mampu membakar kembali semangat para penyokongnya.

"Apa yang sedang berlaku adalah satu langkah tepat dan mampu menyemarakkan lagi industri bola sepak bukan sahaja di negeri ini, malah negara dan ia satu perkembangan positif," katanya.

Seorang lagi bekas pemain Johor yang cukup dikenali, Nasir Yusof berkata, sudah tiba masanya industri bola sepak negeri ini melakukan perubahan kerana terdapat ramai peminat termasuk bekas pemain sendiri masih menyokong.

Justeru, beliau berharap transformasi dilakukan PBNJ termasuk membawa pemain tempatan dan import ternama mampu membuahkan hasil, sekali gus memperoleh apa yang diimpikan semua iaitu memenangi piala dalam saingan Liga M musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...