Monday, December 17, 2012

Turun padang Raja!



KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim menasihatkan Datuk K. Rajagobal agar lebih kerap berinteraksi secara bersemuka dengan jurulatih Liga Malaysia apabila memilih dan memanggil anak buah mereka ke kem latihan skuad negara.

Katanya, jurulatih Harimau Malaya itu perlu mendapatkan maklum balas terus daripada jurulatih pasukan pemain yang mahu disenaraikan dan bukan sekadar datang menonton aksi mereka dari jauh di tempat duduk stadium, apatah lagi cuma yang berlangsung sekitar di Lembah Klang.

Kata Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia, semalam, “Ibaratkan kami jurulatih Liga M ini penolongnya. Dapatkan maklum balas mengenai pemain kerana kami lebih dekat dengan mereka.



“Selalulah juga berinteraksi dengan kami dengan turun padang meninjau sesi latihan secara menyeluruh.

“Janganlah asyik berlegar di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Bukit Jalil dengan cuma menonton perlawanan mereka, tetapi pergilah ke lebih banyak tempat atau secara menyeluruh yang melibatkan pasukan lain juga," katanya yang pernah melatih skuad negara dari 1998 hingga 2000.

Abdul Rahman, 66, mengulas kegagalan Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 selepas disekat Thailand secara agregat 3-1 pada separuh akhir, Khamis lalu yang dianggap ramai pengkritik banyak berpunca daripada kesilapan dalam pemilihan pemain.

Namun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kelmarin mempertahankan Rajagobal untuk terus menerajui Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir Disember tahun depan termasuk bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia mulai Februari ini.

Kata Abdul Rahman, Rajagobal lebih terdedah dengan suasana perlawanan antarabangsa tetapi maklum balas dan pendapat daripada lebih ramai jurulatih Liga M mungkin mampu membantunya dalam menyaring pemain yang benar-benar terbaik untuk menyarung jersi negara.

“Selaku jurulatih yang lebih dekat dengan prestasi semasa pemain tempatan, kami mahu menolongnya.

“Kami berharap dia selalu turun padang (menemui jurulatih Liga M) tetapi kalau dia yang tidak mahu, tidak mengapalah," kata bekas jurulatih Terengganu, Perlis, Selangor, TNB Kelantan, Deltras Sidoarjo Indonesia dan kini PKNS.

Beliau berpendapat, kebanyakan pemain skuad negara sekarang khususnya Piala Suzuki AFF 2012 yang dipilih hanya kerana mereka sudah dikenali Rajagobal sejak bermain di bawah bimbingannya dalam skuad bawah umur kebangsaan kira-kira lapan tahun lalu.

“Jadi mana perginya eksperimennya dengan lebih 50 atau 70 pemain yang dipanggil (menjalani latihan dan siri persahabatan antarabangsa, tahun ini)?

“Kenapa balik-balik orang yang sama, diturunkan bermain walaupun mereka yang tetap gagal menyerlah?" kata Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...