PEMAIN Filipina, Philip James Younghusband (tengah) diasak pemain Singapura pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam. - AFP |
KUALA LUMPUR - Singapura terus menghampiri impian untuk mencipta sejarah sebagai juara paling banyak, empat kali apabila mengecewakan Filipina 1-0 pada separuh akhir kedua bola sepak Piala Suzuki AFF 2012, semalam.
Jaringan tunggal penyerang Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-19 di Stadium Jalan Besar, Singapura, sudah memadai untuk melayakkan tuan rumah ke final dengan kemenangan agregat 1-0.
Singapura akan menanti pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir kedua antara Thailand dengan juara bertahan, Malaysia di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam ini yang terikat 1-1 hasil perlawanan pertama, 9 Disember lalu.
Mohammad Khairul Amri menyambung sepakan bebas rakannya dari luar kotak penalti untuk melepaskan rembatan yang memukau penjaga gawang lawan.
Skuad Lions yang diterajui Radojko Avramovic dari Serbia dan pelawat yang digelar Azkals seri tanpa jaringan di Stadium Peringatan Rizal Balapan dan Bola Sepak, Manila, 8 Disember lalu.
Singapura sebelum ini pernah menjulang trofi teragung bola sepak rantau Asia Tenggara itu pada 1998 (ketika itu Piala Tiger), 2004 dan 2007 (Kejohanan AFF - Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara).
Kejayaan mereka sebaliknya meleburkan hajat besar anak buah Hans Michael Weiss untuk memperbaiki pencapaian separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 Azkals sebelum disekat Indonesia.
No comments:
Post a Comment