Wednesday, December 12, 2012

Safee janji lebih tenang



BANGKOK - Tidak mahu terganggu dengan layanan yang diberikan oleh tuan rumah, penyerang negara Safee Sali menjanjikan aksi lebih tenang jika diturunkan oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Supachalasai, esok.

Mengakui sering berasa tertekan kerana harapan tinggi yang disandarkan kepadanya, dia berazam menjadi pemain yang mempunyai perwatakan berbeza berbanding peringkat kumpulan.

"Kami tidak layak dilayan seperti ini, sebagai pemain timbul juga rasa geram.



"Tidak kisah saya bermain dalam kesebelasan utama atau pemain gantian, saya bertekad mahu membuktikan kepada lawan di samping mahu berusaha mahu beraksi lebih tenang pada perlawanan nanti.

"Sebelum ini saya sedikit terbeban kerana terlalu meletakkan tekanan kepada diri sendiri dan berharap ia tidak berlaku lagi yang menyebabkan saya tidak dapat beraksi sebaik mungkin," katanya ketika ditemui selepas latihan, semalam.

Baru menjaringkan satu gol dalam Piala Suzuki AFF 2012, Safee hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh akhir pertama ketika berdepan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu kerana baru pulih kecederaan otot.

Aksi bakal penyerang Johor itu mendapat kritikan banyak pihak kerana tidak bermain dengan baik terutama gagal menyumbang sebarang gol ketika kalah 0-3 kepada Singapura.

Ditanya mengenai kemampuan Norshahrul Idlan Talaha yang menunjukkan kegarangan ketika membantu Malaysia seri 1-1 dengan Thailand, Safee turut gembira dengan kemajuan rakan gandingannya itu.

"Saya semakin selesa dengan Norshahrul dan apa yang dipamerkan cukup menggembirakan saya kerana ia dapat membantu pasukan.

"Sebagai pemain, ada masa naik, ada masa turun dan ini mungkin masa Norshahrul mempamerkan bisanya bersama pasukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...