Tuesday, December 18, 2012

Skuad Harimau Malaya dirombak


KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya yang gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki baru-baru ini akan dirombak bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata beberapa pemain yang tidak mempamerkan prestasi terbaik pada Piala AFF Suzuki 2012 akan digugurkan, manakala pemain yang diketepikan akibat kecederaan akan dipanggil semula.

Skuad kebangsaan perlu diperkuatkan bagi mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D membabitkan Qatar, Bahrain, Yaman dan Malaysia bermula Februari depan, katanya ketika dihubungi hari ini.



Malaysia gagal mempertahankankan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada 2010 apabila tunduk kepada Thailand dengan agregat 1-3 pada saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Subahan tetap dengan pendiriannya bahawa Datuk K. Rajagobal akan terus melatih skuad Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia kerana kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan tersebut masih berbaki sehingga Disember 2013.

Beliau berkata setakat ini, tiada mesyuarat dipanggil bagi membincangkan kedudukan pengendali berusia 56 tahun itu.

Subahan berkata beliau telah menyerahkan laporan terperinci mengenai prestasi pasukan kebangsaan dan terserah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bagi menentukan kedudukan Rajagobal.

Sebelum ini, kedudukan Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dilihat terancam berikutan kemerosotan prestasi Harimau Malaya selepas bergelar juara Piala AFF Suzuki dua tahun lepas.

Pelbagai pihak mengkritik prestasi Harimau Malaya dan mendesak Rajagobal meletak jawatan dengan nama jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee antara calon pilihan untuk mengambil alih jawatan itu.

Subahan berkata pengkritik tidak harus menyalahkan Rajagobal atas  prestasi skuad Harimau Malaya yang kurang menyerlah pada kejohanan berkenaan kerana jurulatih itu sebelum ini telah banyak membangunkan sukan bola sepak tanah air.- Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...