Thursday, December 13, 2012

Kecederaan Chanturu sudah pulih

Harian Metro


PENANTIAN Perak terhadap S Chanturu hampir berakhir apabila pemain itu dijangka menyertai latihan skuad Seladang, minggu depan.

Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, bekas penyerang lincah Kelantan itu sudah pulih daripada kecederaan dialami musim lalu.

“Ini perkembangan baik buat Perak kerana dapat semula khidmat pemain yang kembali daripada kecederaan. “Persiapan pasukan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana tidak mempunyai skuad penuh berikutan pemain terbabit dengan tugasan masing-masing.

“Apapun saya reda dengan keadaan itu demi kebaikan semua pihak,” katanya.



Kini Azraai hanya menunggu kepulangan semula kapten, Shahrulnizam Mustapa ke pangkuan pasukan selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki, baru-baru ini. Dalam perkembangan lain, jurulatih itu berkata, rancangan skuad Perak menjelajah ke selatan tanah air terpaksa dibatalkan kerana gagal mendapatkan pasukan bagi perlawanan persahabatan.

“Kami cuma dapat satu pasukan untuk mengadakan perlawanan kerana Liga S baru selesai dan kebanyakan pemain bercuti. Tidak berbaloi untuk ke sana semata-mata untuk bermain satu perlawanan.” Sebagai pilihan, Azraai berkata, skuad Seladang akan mengadakan perlawanan dengan Kedah, Kedah Raya dan Universiti Hadyaai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...