HARI pertama tiba di kota Bangkok, penulis berada sedikit hairan apabila tidak banyak publisiti mengenai perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 antara Thailand dan Malaysia diuar-uarkan di samping langsung tidak jumpa dengan mana-mana rakyat di sini memakai jersi kebangsaan skuad Gajah Perang.
Malahan, sebelum tiba di sini, berkesempatan juga menonton beberapa perlawanan yang melibatkan Thailand di peringkat kumpulan ketika bertemu Filipina dan Myanmar, kehadiran penonton di Stadium Rajamangala cukup menyedihkan, kira-kira tidak sampai separuh daripada kapasiti stadium.
Sikap pemandu teksi dan juga beberapa orang awam yang ditemui menguatkan perasaan penulis bahawa mereka seolah-olah tidak ambil kisah terhadap perlawanan penting negara mereka menentang Malaysia di Stadium Supachalasai, malam ini.
Namun, segala tanggapan itu ternyata berubah apabila berkesempatan melihat deretan rakyat Thailand yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan tiket pada awal pagi tadi.
Mengikut maklumat yang diperolehi daripada pegawai Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), hanya tinggal 1,000 baki tiket yang tinggal pada pagi semalam berharga 500 baht (RM50) untuk dibeli bagi sebuah stadium bersaiz kecil yang boleh memuatkan kira-kira 20,000 penonton.
Nampaknya pertemuan dengan Malaysia yang merupakan juara bertahan Piala Suzuki AFF menarik perhatian besar rakyat Thailand yang masih sayangkan bola sepak mereka tambahan keputusan pertemuan pertama dilihat cukup memihak kepada mereka.
Jika pemain Malaysia mungkin bimbang mereka akan bermain tanpa sorakan, mereka tidak perlu bimbang kerana penulis difahamkan kira-kira 800 penyokong Harimau Malaya akan turun di Bangkok.
500 tiket yang diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diagihkan dan 300 tiket yang berjaya diperolehi oleh kumpulan Ultras Malaya memastikan lagu Negaraku akan berkumandang di Supachalasai.
Itu belum dikira dengan kehadiran rakyat Malaysia lain yang datang dengan perjalanan sendiri dan memungkinkan kehadiran lebih ramai penonton yang menyarung jersi Harimau Malaya.
No comments:
Post a Comment