KEPIMPINAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tercabar lagi.
Kali ini, giliran Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu, Abdullah Sulong pula mendakwa badan induk bola sepak negeri itu tidak diurus sempurna.
Bukan saja ramai peminat yang risau kerana Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekali lagi gagal mencapai kecerahan minimum 1,000 lux untuk perlawanan sebelah malam diadakan, malah mereka juga hampa mendengar cerita duka mengenai cara persatuan diuruskan.
Kata Abdullah, soal stadium kurang cerah tidak begitu serius kerana itu sudah menjadi agenda tahunan dan lampu stadium akan dibaiki kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia musim baru bermula pada 8 Januari.
Namun katanya, soal dalaman persatuan mungkin sukar diperbaiki dalam masa terdekat sekiranya pemegang jawatan tertinggi persatuan tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membetulkan keadaan.
Abdullah berkata, jika itu tidak cukup meragukan, timbul pula dakwaan mengenai kegagalan persatuan membayar bil tertunggak yang sepatutnya sudah lama dilangsaikan.
“Kami di Hulu Terengganu mempersoalkan kenapa bil yang sepatutnya dibayar dibiarkan tertunggak sedangkan pemegang jawatan tertinggi persatuan menerima imbuhan mereka setiap bulan.
“Semua ini perlu dijawab pengurusan persatuan dan saya akan pastikan perkara ini dibincangkan dalam kongres PBSNT yang dijadual berlangsung 28 Disember ini,” katanya.
Menurutnya, pengurusan tertinggi persatuan perlu memberi perhatian penuh kepada persiapan pasukan untuk menghadapi musim baru Liga Super dan bukannya menimbulkan masalah dengan tidak membayar hutang.
“Tahun lalu, Terengganu gagal menyerlah dalam semua pertandingan dan sekiranya tidak ada perubahan positif dalam persatuan, besar kemungkinan pasukan ini akan gagal sekali lagi.
“Justeru kami harap pengurusan tertinggi dapat membetulkan keadaan secepat mungkin supaya objektif sebenar untuk meraih kejayaan dapat dijayakan pada musim baru ini”.
Abdullah berkata, Che Mat dan Shaikh Ahmad mengambil langkah bijak apabila melepaskan jawatan mereka dalam pengurusan pasukan beberapa bulan lalu.
“Namun mereka sepatutnya melepaskan bukan saja jawatan, malah mereka juga sepatutnya memilih untuk tidak menerima elaun bulanan juga.
“Kalau sebelum ini mereka menerima imbuhan kerana memegang jawatan pengurus dan timbalan pengurus, kini kedua-dua jawatan itu sudah dilepaskan dan mereka sepatutnya tidak menerima imbuhan besar itu lagi.
“Mereka juga perlu tahu yang hutang wajib dibayar dan semua hutang tertunggak persatuan perlu dijelaskan segera,” katanya.
No comments:
Post a Comment