Saturday, December 22, 2012

Kenapa Piya tiada dalam radar Raja?




KOTA BHARU - ‘‘Maaf, saya tidak mempunyai jawapan mengenai persoalan itu.’’

Demikian komen ringkas kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi ketika diajukan soalan mengenai sama ada dia menyimpan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya bagaimana pun mengambil pendekatan untuk tidak memberikan komen lanjut dan menyerahkan kepada mereka berkenaan untuk menilai sama ada dia layak untuk membarisi skuad negara.



Jika dilihat jawapan yang diberikan oleh ketua pasukan Kelantan itu, jelas terdapat seolah-olah satu rahsia yang cuba dipendam tanpa memberikan sebarang sebab utama mengapa dia berkata demikian.

Namun, daripada air muka yang ditunjukkan, jauh tersimpan di lubuk hati anak kelahiran Kampung Atas Paloh, untuk menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, impian tersebut tidak kesampaian apabila dia yang mempamerkan aksi menakjubkan ketika membantu The Red Warriors menjulang tiga piala musim ini iaitu Liga Super, Piala FA dan Malaysia masih tidak mampu menambat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Tiap kali senarai pelatih pasukan kebangsaan dikeluarkan, nama Badhri pasti akan tercicir dan ini membuatkan pemerhati dan peminat tertanya-tanya apakah kekurangan yang ada pada pemain berkenaan di kaca mata pengendali berumur 56 tahun itu.

Mempunyai keupayaan menjadi perancang di bahagian tengah, Badhri juga mampu melakukan tugasan pada situasi sepakan percuma atau sudut seperti mana ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim.

Sepanjang beraksi bersama The Red Warriors sejak 2008, Badhri berjaya menjulang Kelantan meraih kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia termasuk Piala Sumbangsih serta memimpin pasukannya melangkah ke suku akhir dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini sebelum tumbang di tangan wakil Iraq, Arbil FC.

Kali pertama dan terakhir Badhri menyarung jersi kebangsaan ketika membantu skuad yang dibentuk Ong Kim Swee bagi berdepan dengan Chelsea dalam aksi persahabatan tahun lalu.

Dalam pada itu, Badhri mengakui dia pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada 2010 tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana belum memiliki pasport antarabangsa.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2010 lalu, saya mendapat panggilan dan meminta saya menyerahkan nombor pasport.

“Bagaimanapun, malangnya saya masih belum ada pasport pada masa itu tambahan saya dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu pada waktu itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...