Friday, December 14, 2012

Bojan Hodak lega sudah temui pengganti Mohammad Ghaddar



KOTA BHARU - Kehilangan kelibat penyerang Lebanon, Mohammad Ghaddar tidak menjejaskan persiapan juara tiga piala 2012 Kelantan untuk musim depan dan pengendalinya, Bojan Hodak mengakui sudah menemui pengganti pemain tersebut.

Selepas dua aksi persahabatan, Hodak memberikan gambaran awal untuk mendaftarkan penjaring terbanyak Liga Super musim 2005/06 dan 2006/07 Keita Mandjou bagi mengetuai jentera serangan The Red Warriors untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2013 nanti.

Hodak ketika ditemui pemberita selepas aksi persahabatan Kelantan dengan Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin mengakui Mandjou mempunyai kelebihan berbanding penyerang muda Australia, Dimi Pertratos.


"Mandjou seorang pemain bagus, tidak mudah hilang bola serta mempunyai ketajaman penyudah di hadapan pintu gol. Mandjou juga merupakan bekas penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super sebelum ini.

"Begitu juga Pertratos, seorang pemain muda yang mempunyai kemahiran tinggi dari segi hantaran, mengelecek serta ketajaman penyudah, namun kadang kala mempunyai sikap seperti Mohammad Ghaddar," katanya.

Sepanjang dua aksi perlawanan persahabatan menentang Perlis dan Kedah, Mandjou lebih menyerlah apabila menjaringkan empat gol manakala Petratos dua gol.

Dalam pada itu, Hodak memuji seorang lagi tonggak importnya Obinna Nwaneri yang menunjukkan aksi cemerlang sebagai mana sebelum ini.

Mengulas mengenai aksi persahabatan itu, pengendali berusia 41 tahun ini memberitahu dia gembira dengan aksi yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya sepanjang perlawanan tersebut.

"Rata-rata pemain yang diturunkan beraksi dengan baik termasuklah pemain baharu seperti Zairol Annuar Zailani, Izuan Solahuddin, Khairul Izuwan Rosli, Mohd. Haris Safwan begitu juga dengan Muhammad Zamri Ramli," tegasnya.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...