Wednesday, December 26, 2012

Irfan tak gusar kebangkitan Johor



KUALA LUMPUR - Dua minggu menjelang pembukaan Liga Malaysia 2013, tidak banyak berita mengenai pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu, Selangor disiarkan kepada umum.

Bagaikan dipandang sepi persiapan mereka berbanding Johor Darul Takzim FC, Red Giants memilih pendekatan mendiamkan diri walaupun berjaya mendapatkan beberapa pemain berkualiti seperti S. Kunanlan dan Mahalli Jasuli bagi memperkuatkan pasukan.



Jurulatihnya, Irfan Bakti menganggap kurangnya tumpuan kepada pasukannya memberikan hikmah kepada Selangor dalam mengharungi musim 2013.

"Ekoran ramai yang memberikan perhatian kepada Johor, itu satu perkara yang menggembirakan kerana sekurang-kurangnya ia tidak memberikan tekanan kepada Selangor, yang sering diberi perhatian sebaik bermula musim baru.

"Jadi pasukan lawan akan beraksi bersungguh-sungguh apabila berdepan kami. Namun situasinya mungkin berbeza musim ini kerana banyak perhatian diberikan kepada persiapan Johor.

"Kami juga mahu bersikap 'low profile' dan lebih selesa dengan situasi seperti ini sehingga penghujung musim nanti, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Dibarisi beberapa pemain lain seperti Sharbinee Allawee, Afiq Azmi, Mohd. Ramzul Zahini Adnan, Abdul Shukor Jusoh dan pemain import terbaru, Francis Forkey Doe, Selangor mampu mencabar kejuaraan liga walaupun kehilangan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim, Azidan Sarudin dan Amirul Hadi Zainal.

Meletakkan sasaran mahu memenangi sekurang-kurangnya satu trofi pada musim depan, Irfan tidak terlalu berasa gusar dengan kekuatan Johor yang dilimpahi pemain bertaraf bintang.

"Duit belum tentu boleh membeli segala-galanya... termasuk kejayaan (memenangi trofi) tetapi kami tetap menghormati pasukan Johor.

"Bagi saya, matlamat Selangor untuk merangkul sekurang-kurangnya satu trofi pada musim depan tidak akan terjejas biarpun dengan kehadiran Johor yang berwajah baru, saya langsung tidak bimbang, " katanya.

Menyentuh mengenai ketua pasukan yang baru untuk menggantikan tempat Safiq, dia mengakui belum membuat sebarang keputusan dan perkara itu masih diperbincangkan dengan pihak pengurusan.

"Buat masa ini kami belum mencapai kata putus lagi, mungkin pada minggu depan akan mengumumkan siapakah pemain yang akan memegang lilitan ketua pasukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...