Thursday, December 27, 2012

Harimau Selatan baham Wellington

Sumber: Harian Metro online
 
KELAB Johor Darul Takzim yang dianggap pasukan paling mahal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan memberi amaran awal untuk pencabar mereka apabila mudah meratah kelab Liga Singapura (Liga S), Woodlands Wellington, 5-1 dalam aksi pra musim Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Larkin, malam tadi.
 
Walaupun tanpa kelibat Simone Del Nero yang mengalami kecederaan hingga memaksa ketua jurulatih, Fandi Ahmad melakukan perubahan taktik dengan merehatkan Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Nurul Azwan Roya di babak pertama, penguasaan jelas milik skuad bergelar Harimau Selatan itu.
 

Sebaik aksi memasuki minit kesembilan, gema ‘Sorakan Larkin’ yang sekian lama menyepi menyambut jaringan Daniel Guiza hasil bola sepakan percuma yang terbias benteng Woodlands Wellington dengan penjaga gol, Ahmadulhaq Che Omar terpaku melihat bola menerjah jaring. Gandingan Safee Sali-Guiza sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pelawat apabila bertali arus melakukan percubaan berbahaya ke pintu gol namun masih belum menemui penyudah berkesan ketika Ahmadulhaq tampak bertungkus lumus menghalang pintu golnya daripada dibolosi.

Keserasian Safee dan Guiza sudah mula mempamerkan taring dengan gerakan pemain import termahal Liga M dari Sepanyol itu pada minit ke-39 yang melorongkan bola tepat kepada penyerang kebangsaan itu untuk mudah menolak masuk bagi menewaskan Ahmadulhaq.

Sepanjang babak pertama benteng pertahanan skuad Harimau Selatan yang membabitkan gandingan kapten Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad tampak begitu kebal apabila barisan serangan Woodlands Wellington jelas sukar untuk melakukan percubaan berbahaya.

Ketika aksi babak pertama berbaki seminit, Safee Sali yang tampak lesu pada saingan Piala AFF meledakkan rembatan deras untuk memastikan Johor Darul Takzim selesa mendahului 3-0.
Sebaik babak kedua bermula, Woodlands Wellington merapatkan jurang gol pada minit ke-51 selepas Khalid Hamdaoui merembat kencang dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol, Al-Hafiz Hamzah. Fandi yang tampak mahu menggunakan perlawanan itu bagi mencari barisan mantap memasukkan Norshahrul Idlan dan Aidil Zafuan ketika mereka cuba memperagakan corak permainan pantas dan hasilnya, pada minit ke-82, Safiq Rahim meledakkan rembatan deras menerusi sepakan percuma sebelum Norshahrul turut menjaringkan gol ketika aksi berbaki dua minit.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...