Saturday, December 15, 2012

Farizal minta maaf

Harian Metro


MESKIPUN beraksi cemerlang menjaga gawang skuad negara ketika bertemu Thailand kelmarin, Mohd Farizal Marlias tetap merendah diri dengan secara terbuka memohon maaf kepada semua penyokong Harimau Malaya kerana kegagalannya serta rakan sepasukan mempertahankan Piala AFF.

Kerja keras penjaga gol Negeri Sembilan itu nyata masih belum cukup untuk menafikan kemenangan Thailand apabila Farizal tewas dua kali menerusi gol mudah.



“Kepada semua peminat, saya mewakili rakan sepasukan memohon maaf dengan keputusan semalam (kelmarin). Kami sudah memberikan yang terbaik, komitmen 100 peratus tapi rezeki tidak memihak kepada kita.

“Sekali lagi saya minta maaf, benda sudah berlaku dan kami akan fokus untuk kempen kelayakan Piala Asia pula.

“Saya harap dapat sekali lagi memberikan yang terbaik pada kempen kelayakan itu nanti,” katanya.

Pujian wajar diberikan kepada penjaga gawang negara itu kerana sejak diberi peluang beraksi pada perlawanan kedua saingan kumpulan bertemu Laos, Farizal tidak pernah mengecewakan pengendali skuad negara, Datuk K Rajagobal serta penyokong setia Harimau Malaya.

Mengakui sudah memberikan komitmen penuh, Farizal yang ditemui sejurus tiba dari Bangkok semalam berkata, dia kecewa dengan keputusan yang tidak memihak skuad negara kali ini.

“Memang saya kecewa sebab melepaskan gol mudah tapi apa boleh buat sebab sudah mencuba yang terbaik.

“Beraksi dengan 10 pemain serta faktor pengadilan adalah antara penyebab kekalahan kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...