KUALA LUMPUR - Tatkala masih ramai peminat menuding jari kepada Datuk K. Rajagobal selepas Harimau Malaya gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012, mungkin sudah tiba masanya semua pihak memikirkan nasib Malaysia bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 yang akan bermula 6 Februari depan.
Segala kelemahan yang dipamerkan oleh barisan pemain negara sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2012 perlu diperbaiki agar Harimau Malaya tidak menjadi mangsa belasahan pasukan-pasukan dari Asia Barat seperti Qatar, Bahrain dan Yemen dalam Kumpulan D.
Peringatan itu diberikan oleh penganalisis bola sepak negara yang juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang berpendirian Rajagobal perlu berani merombak corak permainan sedia ada di samping membawa masuk beberapa muka baru.
"Tidak salah kalau kita berikan peluang kedua kepada Datuk K. Rajagobal membetulkan segala kesilapan yang dia lakukan semasa Piala Suzuki AFF tempoh hari tetapi bagi kelayakan Piala Asia 2015, dia perlu memperbetulkan banyak perkara terhadap pemainnya.
"Tambahan kita berdepan pasukan-pasukan dari Asia Barat diketahui mempunyai fizikal yang tegap, skil dan kawalan bola yang bagus, para pemain kita perlu memperbanyakkan permainan hantaran pendek yang tepat sesama sendiri serta sentiasa bergerak.
"Satu lagi nasihat saya, pemain kena sentiasa memberikan tekanan kepada lawan semasa lawan mendapat bola supaya mereka tidak dapat mengatur permainan dan itu sangat penting kita boleh memberikan saingan kepada mereka," katanya.
Menyentuh sama ada perlu melantik seorang pakar teknikal untuk membantu Rajagobal, itu terpulang kepada pendirian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi berpendapat jurulatih itu perlu bersifat terbuka menerima pandangan daripada jurulatih-jurulatih di Liga Malaysia.
"FAM boleh mencari seorang pakar teknikal untuk bersama Rajagobal bagi membantunya dalam soal pemilihan taktikal.
"Walaupun begitu, segala keputusannya nanti tetap terpulang kepada Rajagobal kerana dia merupakan ketua jurulatih," katanya.
Azlan dalam masa sama tidak menyalahkan pengendali berusia 56 tahun itu 100 peratus, sebaliknya menganggap kebolehan skil individu para pemain negara juga masih terlalu lemah.
"Jika kita perhatikan semasa pertemuan terakhir menentang Thailand, kebanyakan pemain kita tidak berani memegang bola terlalu lama dan lebih gemar melakukan hantaran bola-bola tinggi.
"Perkara asas pemain bola sepak kita masih banyak terlalu lemah seperti melakukan umpanan, tampanan, mencari ruang serta bertukar-tukar posisi dan ini menyebabkan pilihan jurulatih dalam merencanakan pelbagai pilihan taktikal cukup terhad.
"Hanya beberapa pemain muda kita yang mempunyai kebolehan sebegitu dan kita perlu tengok kekuatan asas yang dimiliki oleh Thailand.
"Saya juga berharap beberapa pemain seperti Nor Farhan Muhammad, Mohd. Badhri Radzi dan Asaari Samsudin diberikan tempat dalam pasukan kebangsaan dan gugurkan pemain yang tidak berhak kerana masih ada ramai pemain bagus di luar sana," katanya.
No comments:
Post a Comment