KUALA LUMPUR - Kurang dua bulan sahaja menjelang kelayakan Piala Asia 2015, ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal perlu mengambil kesempatan yang tinggal bagi memperingkatkan kembali keyakinan para pemain dan memperbaiki kelemahan sedia ada.
Tidak perlu lagi menceritakan kegagalan yang lalu, beliau yang telah empat tahun mengendali pasukan kebangsaan perlu segera melakukan rombakan melibatkan pemain-pemain yang kurang menyerlah dan membuka peluang kepada muka-muka baru.
Memetik daripada laporan Bernama semalam, pengurus pasukan negara, Datuk Subahan Kamal memberi bayangan yang Rajagobal akan menggugurkan pemain-pemain yang tidak mempamerkan prestasi terbaik pada Piala Suzuki AFF 2012 sementara pemain yang diketepikan akibat kecederaan akan dipanggil semula.
Antara pemain mendapat kecederaan sebelum AFF berlangsung ialah Ahmad Shakir Ali, S. Subramaniam, Zaquan Adha Abdul Razak dan K. Gurusamy manakala Asraruddin Putra Omar serta Izzaq Faris Ramlan mungkin menjadi pilihan sekiranya berada dalam tahap kecergasan yang memuaskan.
Walaupun begitu, sejauh manakah rombakan itu benar-benar serius mengetepikan pemain-pemain yang mempamerkan kemerosotan atau akan memperlihatkan beberapa pemain yang dianggap anak emas Rajagobal akan terus selamat?
Bukan sedikit yang memperkatakan kehadiran beberapa pemain seperti Amar Rohidan dan Azmi Muslim tidak memberikan sebarang impak, namun masih menjadi pilihan pengendali berusia 56 tahun itu.
Selain mereka berdua, beberapa pemain lain seperti Safee Sali, Safiq Rahim, S. Kunanlan serta Bunyamin Umar juga beraksi di bawah tahap sebenar dan amaran perlu diberikan kepada mereka supaya tidak berada dalam zon selesa bersama Harimau Malaya.
Sewajarnya, nama-nama pemain seperti Norfarhan Muhammad, Mohd. Amri Yahyah, Mohd. Asaari Shamsudin, Faiz Subri dan Mohd. Badri Radzi diberikan pertimbangan bermain dengan pasukan kebangsaan jika prestasi mereka pada Liga Malaysia 2012 dijadikan penilaian.
Beberapa tonggak dalam Harimau Muda A sudah boleh bersedia mengisi tanggungjawab di peringkat antarabangsa seperti Syahrul Azwari, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd. Fandi Othman dan Mohd. Irfan Fazail yang sebenarnya mungkin mampu beraksi lebih baik berbanding pemain-pemain senior ada.
Kecederaan beberapa pemain utama seperti Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Nor tidak boleh dijadikan alasan utama mengapa Harimau Malaya gagal mengaum kerana sebagai jurulatih, Rajagobal perlu menyediakan pengganti yang setanding.
Jangan dilupakan pada tahun 2010, pasukan negara juga berdepan krisis kecederaan yang parah tetapi masih menjulang Piala Suzuki AFF kali pertama.
No comments:
Post a Comment