Monday, December 17, 2012

Azraai bentuk keserasian

Harian Metro


KEPUTUSAN perlawanan tidak penting sebaliknya ketua jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah menjadikan tiga perlawanan pemanas badan semasa Jelajah Utara mulai hari ini sebagai pentas membentuk keserasian dan meningkatan persefahaman sepasukan.

“Saya tidak kisah apa juga keputusannya kerana yang menjadi keutamaan ialah membentuk kemantapan taktikal pasukan.

“Justeru itu setiap pemain akan diberi peluang beraksi untuk menunjukkan kemampuan masing-masing serta apa yang mampu mereka lakukan di atas padang,” kata Azraai ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain Liga Super Seladang di Ipoh, petang semalam.


Pada majlis itu semua pemain kecuali penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias dan penyerang S Chanturu, hadir dalam sesi bertemu peminat Kejor Yob Kejor itu.

Azraai berkata, langkah itu perlu bagi mengelak berlaku jurang besar antara pemain utama dengan pemain simpanan agar kemampuan pasukan seimbang.

“Kita akan menghadapi kempen yang panjang nanti. Dalam tempoh itu mungkin akan berlaku kecederaan dan juga penggantungan.

“Jadi penting bagi saya mengetahui kemampuan setiap pemain agar dapat membuat pilihan untuk mengisi kekosongan yang berlaku nanti,”katanya.

Mengenai jelajah itu, Azraai berkata perlawanan pertama Perak ialah bertemu Perlis di Stadium Utama, Kangar, malam ini diikuti pertemuan dengan sebuah kelab Kedah yang akan menyertai Liga FAM pada Rabu dan yang terakhir pasukan Liga Thailand, Songkhala FC, Jumaat.

Jurulatih itu berkata, Perak juga akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan lagi iaitu bertemu Pos Malaysia pada 26 Disember di Proton City, Tanjong Malim dan Pulau Pinang dua hari kemudian.

Katanya selepas itu segala tumpuan akan diberikan terhadap perlawanan pembukaan Liga Super bertemu T-Team di Ipoh pada 8 Januari depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...