KETIKA beberapa pasukan lain gah mempersiapkan pasukan apabila menyambar pemain bertaraf bintang, Felda United FC tidak mahu ketinggalan membentuk skuad terbaik bagi mengelak menjadi skuad belasahan pada saingan Liga M musim depan.
Usaha mendapatkan khidmat pemain berpengalaman tetap menjadi sasaran apabila berjaya mendapatkan pemain kebangsaan, Amar Rohidan.
Pemain lain yang memiliki reputasi tinggi yang turut menganggotai skuad itu adalah Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Helmi Eliza Alias dan Khaironnisam Shahabudin Hussain yang dilantik sebagai kapten.
Ketua jurulatih, K Devan berkata, skuad bimbingannya kali ini dianggotai sebahagian besar pemain muda namun mereka mampu menggalas cabaran saingan musim depan.
Katanya, dua pemain import dari Afrika Selatan dan Amerika Selatan yang beraksi di posisi penyerang dan pertahanan sudah dikenal pasti tapi nama mereka belum dapat diumumkan kerana dijangka sampai dalam tempoh terdekat.
“Saya belum dapat umum nama mereka kerana belum lagi sampai di sini. Bagaimanapun, kedua-dua mereka sudah didaftarkan bersama pemain tempatan lain pada 6 Disember lalu.
“Saya yakin pemain import itu mempunyai keupayaan untuk memantapkan lagi pasukan bagi merealisasikan sasaran pengurusan,” katanya.
Menurut Devan, persiapannya sebaik mengambil alih tugas daripada E Elavarasan bulan lalu berjalan lancar dan sudah merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan bermula dengan menentang ATM.
Bekas pengendali Johor FC musim lalu itu berazam membawa Felda United FC ke tahap lebih cemerlang musim depan.
“Saya harap melalui gabungan pemain berpengalaman dan muda, Felda United FC mampu menjadi pencabar terkuat sama ada pada saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment