SEJAUH mana keupayaan skuad gabungan tenaga muda dan berpengalaman Perlis yang bakal menggalas cabaran pada kempen Liga M musim depan akan diuji apabila menentang Perak pada perlawanan persahabatan di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam ini.
Pertemuan dengan skuad Kejor Yob Kejor kendalian Azraai Khor Abdullah itu juga menjadi medan terbaik bagi pengurusan pasukan menilai kemampuan pemain muda dalam merealiasasikan impian membentuk pasukan mantap.
Selain itu, paling penting pada perlawanan itu kedua-dua tonggak import dari Ghana yang dipinjamkan skuad Reds Warrios, Okine Emmanuel Ayaah dan Antwi Dennis Agyare akan diturunkan.
Justeru, ia bakal menjadi pentas terbaik bagi ketua jurulatih Perlis, Yunus Alif untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan, selain menilai tahap keupayaan pasukan terutama daripada segi persefahaman gandingan pemain muda serta awang import.
Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Mohd Noor Ismail berkata, perlawanan itu adalah antara rangka persiapan pasukan yang dibarisi lebih 80 peratus tenaga tempatan menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.
“Justeru, kami berharap perlawanan dengan Perak menjadi medan terbaik mengenal pasti barisan yang bakal menggalas cabaran Perlis pada kempen Liga M nanti,” katanya. Perlawanan itu adalah yang ketiga selepas menentang juara tiga piala musim ini, Kelantan dan Terengganu dengan tewas 0-5 dan 0-4.
No comments:
Post a Comment