Showing posts with label Farizal Harun. Show all posts
Showing posts with label Farizal Harun. Show all posts

Monday, January 5, 2015

Farizal yakin The Fighters raih trofi

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Penjaga gol FELDA United, Mohd Farizal Harun yakin The Fighters mampu merealisasikan impian pihak pengurusan untuk meraih satu piala pada saingan Liga Malaysia 2015 yang bermula bulan depan.

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu termasuk trio importnya, Edward Junior Wilson, Makeche Ndumba dan Zah Rahan Krangar, yang dilabel antara yang terbaik selain membawa masuk beberapa muka baru bagi menambahkan kekuatan.

Monday, January 9, 2012

Sathianathan tuntut kecemerlangan pemain ATM


MISI pasukan 'Manchester City' Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bermula malam ini.
Mereka akan melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, Betaria FC pada aksi sulung Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam ini.
Menyedari begitu ramai 'mata' yang memandang kekuatan pasukannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, jurulatih ATM, B. Sathianathan (gambar) jelas menuntut anak buahnya supaya mempamerkan aksi yang mantap selaras dengan harapan menggunung peminat.
Menurut beliau, status 'pasukan bintang' ATM tidak akan membawa sebarang makna sekiranya setip pemain beraksi sambil lewa serta tidak mempamerkan aksi yang memberangsangkan.
"Setiap pemain haruslah memberikan yang terbaik dan pada masa sama tidak memandang rendah pasukan lawan.
"Ini merupakan detik permulaan kami yang mahu layak ke Liga Super musim depan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pasukan ATM sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketujuh Liga Perdana musim lalu, sementara Betaria FC yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Johor FC, Azuan Zain pula merupakan juara Liga FAM musim lepas.
Sathianathan berkata, sasaran layak ke Liga Super merupakan keutamaan skuadnya ketika ini sementara kejayaan-kejayaan lain termasuk menjulang Piala FA dan Piala Malaysia hanya disifatkannya sebagai satu bonus.
Menurut beliau, setakat ini bayangan kesebelasan utama ketika menentang Betaria FC malam ini sudah ada, namun Sathianathan masih kekal berteka-teki mengenai perkara itu.
"Inilah kelebihan jika memiliki ramai pemain yang bagus. Penyerang tidak semestinya beraksi di posisi itu, saya boleh meletakkan pemain tersebut di bahagian sayap ataupun di bahagian tengah," katanya optimis.
Sathianathan dijangka menggunakan khidmat bekas awang import Kedah, Marlon Alex James bersama Zaquan Adha Abdul Razak dan Hairuddin Omar (Hai-O) di bahagian serangan sementara tugas menjaga gawang gol dijangka digalas oleh bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun.
Dalam pada itu, Sathianathan mengakui tidak begitu bimbang dengan prestasi semasa Hai-O yang dikhabarkan kurang cergas untuk diturunkan gara-gara kecederaan semasa sesi latihan sebelum ini.
"Kecederaannya dilihat tidak serius, saya pasti Hai-O boleh memberikan persembahan terbaik sepanjang 90 minit permainan sekiranya dia diturunkan esok (malam ini)," katanya.

Wednesday, December 7, 2011

Tentera ikat 5 pemain


TENTERA berjaya mengikat sekurang-kurangnya lima pemain yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2011 menyertai pasukan dalam bola sepak Liga Perdana musim 2012.

Mereka ialah pemain adik beradik, Zaquan Adha Razak dan Aidil Zafuan Razak, Irwan Fadzli Idrus, Hairudin Omar dan Farizal Harun. Jurulatih pasukan, B Sathianatahn berkata, mereka antara 15 pemain import tempatan daripada 30 pemain yang disenaraikan oleh pasukan menjelang tarikh penutup pendaftaran esok.

Selebihnya ialah pemain dari pelbagai negeri melainkan Kelantan sebagai memenuhi janjinya tidak memancing pemain negeri berkenaan yang pernah dibimbing dua musim lalu.

Selain pemain import tempatan, Tentera juga menggunakan khidmat 13 pemain dari kalangan anggota Tentera dan dua pemain import luar negara.

Pemain import luar negara datangnya dari Argentina dan Amerika Tengah untuk bermain di bahagian tengah dan serangan.

Pemain Argentina yang dimaksudkan ialah Juan Manuel Arostegui yang pernah membantu Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) muncul juara Piala Malaysia 2003. Sementara penyerang dari Amerika Tengah belum lagi dikenal pasti identiti sebenar.

“Pengumuman nama pemain pasukan akan diumum pengurusan atasan pasukan pada minggu depan,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan musim 2007 dan 2008 itu.

Katanya, tugas memilih pemain sudah selesai kini tumpuan membina sebuah pasukan yang mantap menerusi perlawanan persahabatan menjelang kejohanan.


Dalam minggu ini Tentera yang berbelanja besar selepas dua musim gagal mencapai matlamat ke liga super mengadakan dua perlawanan persahabatan.

Perlawanan pertama menentang Kuala Lumpur dan pasukan T-Team esok.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...