Monday, January 5, 2015

Farizal yakin The Fighters raih trofi

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Penjaga gol FELDA United, Mohd Farizal Harun yakin The Fighters mampu merealisasikan impian pihak pengurusan untuk meraih satu piala pada saingan Liga Malaysia 2015 yang bermula bulan depan.

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu termasuk trio importnya, Edward Junior Wilson, Makeche Ndumba dan Zah Rahan Krangar, yang dilabel antara yang terbaik selain membawa masuk beberapa muka baru bagi menambahkan kekuatan.



Antara muka baru The Fighters adalah bekas pemain Pakhtakor FC, Bojan Miladinovic, bekas kapten PKNS FC Fauzan Dzulkifli, bekas pemain Harimau Muda A, Shahrul Saad dan bekas pemain Sarawak, Mohamad Rashid Aya.

“Nampaknya setakat ini semuanya berjalan lancar dengan kehadiran pemain baru akan menambahkan kekuatan kami. Saya optimis dengan kehadiran mereka selain persembahan mantap yang dipamerkan dua pemain berpengaruh, kapten Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin, sasaran satu piala boleh dicapai,” kata penjaga gol utama FELDA United itu.

Pengurusan kelab itu menetapkan untuk meraih kejuaraan Liga Super atau Piala FA dengan misi melangkah ke kancah Piala AFC pada 2016.

FELDA United melakar kejutan musim lalu apabila muncul naib juara Liga Perdana, melangkah ke final Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun tidak diberikan harapan tinggi pada peringkat awal.

Malah penyerang dari Liberia, Wilson membuktikan sentuhan pemusnahnya apabila muncul penjaring terbanyak Liga Perdana.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...