Sumber: Facebook Real Mulia FC
Mendengar nama 'wonderkid' Ash Hameed sebagai pemain baru Real Mulia FC, pastinya menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat pasukan Kelantan memandangkan pemain ini baru menandatangani kontrak bersama pasukan dari pantai timur itu dan diperkenalkan secara rasmi kepada peminat pada 1 Disember lalu.
Ada yang membuat andaian dia dipinjamkan tetapi pada hakikatnya Ash dan TRW sudahpun mencapai 'mutual termination' (persetujuan bersama untuk penamatan kontrak) dan pemain ini menyertai RMFC sebagai ejen bebas.
Mengulas lanjut mengenai punca pemain yang dianggap George Boateng sebagai bintang masa depan ini meninggalkan TRW, ayah Ash, Shahul Hameed berkata, "Telah berlaku sedikit perselisihan antara Ash dan seorang pemain TRW yang mengundang pergaduhan kecil. Pergeseran antara rakan sepasukan di atas padang adalah perkara biasa, namun Ash masih lagi seorang remaja, berusia 17 tahun, pada saya cara dia diperlakukan adalah tidak betul."
"Perkara ini telah mengundang campur tangan Boateng yang berkata perkara seperti ini tidak akan berulang. Tetapi saya merasakan tiada jaminan kejadian seperti ini tidak akan terjadi lagi apatah lagi pengurusan seolah tidak peka dengan kejadian ini.
"Kami telah mengadakan perbincangan dengan KAFA untuk meminta dia dilepaskan. Walaupun keberatan pada awalnya, KAFA bersetuju dengan permintaan kami untuk dia dilepaskan atas persetujuan bersama. Perkara ini telah selesai dengan baik dan kami mengucapkan terima kasih kepada Kelantan kerana telah memberi Ash peluang menimba ilmu dan menyarung jersi Kelantan.
"Ia satu kebanggaan buat kami kerana kami menghormati Kelantan sebagai sebuah pasukan elit, mempunyai pemain berkualiti dan kami mendoakan Kelantan akan terus berjaya. Semoga keputusan ini juga baik untuk perkembangan karier Ash. Mungkin belum masanya untuk dia beraksi dalam Liga Super tetapi dia akan menapak dari bawah dan memberikan yang terbaik untuk Real Mulia InshaAllah."
No comments:
Post a Comment