Saturday, January 24, 2015

Jadikan kes Gary iktibar

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Kita nak semua pemain faham mengenai kontrak, bukan semata-mata hendak menghukum mana-mana pihak.”

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai mempertahankan cadangannya supaya menetapkan hukuman lebih berat gantung semusim kepada pemain didapati bersalah menandatangani kontrak dengan dua pasukan.

Cadangan disuarakan Tengku Abdullah itu mengundang pandangan bercampur baur pelbagai pihak dengan ada yang menganggap ia bagus untuk memberikan pengajaran kepada pemain supaya lebih menghormati kontrak. Tetapi ada juga yang tidak setuju kerana hukuman itu dilihat kurang adil serta terlalu berat.



Isu ini menjadi perbualan hangat selepas timbulnya beberapa kes pelanggaran kontrak pemain termasuk terbaru membabitkan bekas pemain Harimau Muda A Gary Steven Robbat yang menandatangani kontrak dengan dua pasukan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang.

Pemain berusia 22 tahun itu hanya menerima hukuman penggantungan tiga bulan serta denda RM50,000 oleh Jawatankuasa Status FAM 16 Januari lalu, tetapi masih boleh mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman.

Tengku Abdullah menegaskan, cadangan hukuman tidak dibenarkan beraksi semusim itu bukanlah bertujuan menganiayai mana-mana pihak, baik pemain atau pasukan sebaliknya mahu peraturan diperkemas bagi mengelakkan masalah seumpama itu berulang.

“Itu hanya pandangan. Kita hendak supaya peraturan kemas dan semua pemain faham. Bukan kita suka menghukum, saya tidak suka pemain dan persatuan dihukum. Bila masalah ini timbul ia tak nampak kelicinan, saya hendakkan persefahaman. Saya juga mahu semua pemain mempunyai kehidupan baik.

“Kita perlu terus memberi kesedaran kepada pemain. Kalau perkara senang tak boleh buat, kita buat secara drastik. Kita perlu hormati kontrak kerana ini dipersetujui pasukan, bukan saya yang buat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...