Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja pasukan PKNS tersingkir ke saingan Liga Perdana pada musim ini, tiada banyak perkara diketahui mengenai persiapan mereka kecuali penghijrahan beberapa pemain utama seperti Helmi Remeli, Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Remezey Che Ros
Skuad The Red Ants juga kehilangan ketua jurulatih selepas pengendali sementara, Annuar Abu Bakar memilih haluan ke Selangor yang membuatkan ramai menjangkakan PKNS seperti terkapai-kapai bagi menghadapi perjuangan musim ini.
Namun, rupa-rupanya pengurusan PKNS telah melakukan persiapan cukup rapi bagi memastikan mereka hanya semusim berada dalam Liga Perdana dengan membawa masuk jurulatih dan pemain berpengalaman bagi mewarnai cabaran.
Cabaran PKNS pada musim ini bakal dipikul oleh jurulatih berpengalaman E. Elavarasan, yang kembali mewarnai pentas Liga Malaysia selepas kali terakhir bergelar ketua jurulatih pada 2013 bersama Terengganu namun direhatkan di pertengahan musim ekoran pretasi yang kurang memberangsangkan.
Bagi menggantikan kehilangan pemain-pemain utama, PKNS turut mendapatkan beberapa pemain yang masih ‘bergetah’ seperti Farderin Kadir, Mohd. Munir Amran dan G. Jeevananthan untuk menguatkan cabaran pasukan berkenaan agar mampu menjadi antara pesaing dalam Liga Perdana.
Bagaimanapun tugas berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani Elavarasan yang dilantik sedikit lewat berbanding kebanyakan pasukan lain
Situasi itu membuatkan dia tidak mampu mendapatkan pemain terbaik, tetapi Elavarasan tetap yakin skuad PKNS mampu menguasai persaingan Liga Perdana.
“Sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan adalah kembali ke Liga Super. Ia memang nampak sedikit sukar kerana kebanyakan pemain terbaik sudah dipikat oleh pasukan lain.
“Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan kerana saya tetap nampak kualiti yang ada pada pasukan ini kerana sebahagian besar pemain musim lalu dikekalkan.
“Beberapa pemain seperti Farderin, Munir dan Jeevanathan diharap mampu mencurahkan pengalaman mereka bagi membantu pasukan di samping pemain import berkualiti yang kami berjaya dapatkan.
“Memang tampak sukar kerana banyak pasukan melakukan persiapan rapi, namun dalam bola sepak tiada apa yang mustahil sekiranya kita berusaha sehabis baik,” katanya.
Elavarasan mula dikenali oleh kebanyakan peminat bola sepak negara apabila membimbing pasukan bersatus kelab, Public Bank muncul naib juara Liga Super pada 2006 dan Felda United selaku juara Liga Perdana pada 2010.
Bagi menampung ketiadaan tiga pemain import Hamka Hamsah, Karlo Primorac dan Kim Dong-Chan yang digugurkan, The Red Ants membawa masuk pemain tengah dari Argentina, Gabirel Manuel Guerra yang dipinjamkan oleh pasukan Bawah 21 Boca Juniors.
PKNS turut mendapatkan pemain dari Argentina, Gonzalo Soto, yang bermain di bahagian pertahanan dan pemain Jepun, Keisuke Ogawa yang pernah beraksi di Liga Singapura, Albirex Nagata.
No comments:
Post a Comment