Tuesday, January 13, 2015

Yunus, Rajagobal berganding di Real Mulia

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini menyandang jawatan selaku Penasihat Real Mulia FC, sekali gus menepis ura-ura sebelum ini bahawa dia akan menyertai salah sebuah pasukan dalam Liga Super atau ke Singapura.

Kelab bola sepak milik Tengku Fahd Mu’adzam Shah, anakanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ini akan beraksi dalam Liga FAM, pertandingan divi­syen tiga Liga Malaysia mulai Mac depan. Rajagobal, 59, yang menerajui Harimau Malaya menjulang Piala AFF juga didapati telah mengha­diri sesi ujian pemilihan terakhir Real Mulia di Stadium Merdeka di sini minggu lalu. Real Mulia yang dinamakan bersempena kelab ternama Sepanyol, Real Madrid, turut melantik bekas pemain negara dan Pahang, Yunus Alif sebagai ketua jurulatihnya.



Bekas pemain Aus­tralia yang pernah mewakili Si­ngapura, Johor dan Selangor serta pe­ngulas sukan di TV Alistair Edwards pula dilantik sebagai Pe­ngarah Teknikal Real Mulia. 

“Masing-masing ada bidang tugas, jadi tidak bertindan de­ngan tugas saya dalam membuat ke­pu­tusan sebagai ke­tua jurulatih pasukan ini. “Saya nampak sekurang-kurangnya ada juga input idea lain yang mampu membantu tugas saya,” kata Yunus kepada Utusan Malaysia. 

Yunus sebelum ini membim­bing Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Proton, Perlis, T-Team dan PBAPP. Yunus, 57, menambah, Liga FAM musim ini mewajibkan setiap pasukan mempunyai lima pemain bawah 21 tahun bagi mengete­ngahkan bakat anak tempatan sebelum mereka menyertai Liga Perdana mahupun Super. 

“Antara pemain berpengalaman yang bakal menguatkan Real Mulia ialah bekas penjaga gol negara Syamsuri Mustafa, dua pemain PBAPP iaitu Mohd. Hazrul Shah Abdul Hakim dan Muhd. Badrulhisani Abdul Rahman, serta Shahril Faizal Sharifuddin (T-Team). 

“Selebihnya ialah ramai pemain muda skuad Piala Emas Raja-raja dari Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...