Monday, January 9, 2012

Sathianathan tuntut kecemerlangan pemain ATM


MISI pasukan 'Manchester City' Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bermula malam ini.
Mereka akan melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, Betaria FC pada aksi sulung Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam ini.
Menyedari begitu ramai 'mata' yang memandang kekuatan pasukannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, jurulatih ATM, B. Sathianathan (gambar) jelas menuntut anak buahnya supaya mempamerkan aksi yang mantap selaras dengan harapan menggunung peminat.
Menurut beliau, status 'pasukan bintang' ATM tidak akan membawa sebarang makna sekiranya setip pemain beraksi sambil lewa serta tidak mempamerkan aksi yang memberangsangkan.
"Setiap pemain haruslah memberikan yang terbaik dan pada masa sama tidak memandang rendah pasukan lawan.
"Ini merupakan detik permulaan kami yang mahu layak ke Liga Super musim depan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pasukan ATM sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketujuh Liga Perdana musim lalu, sementara Betaria FC yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Johor FC, Azuan Zain pula merupakan juara Liga FAM musim lepas.
Sathianathan berkata, sasaran layak ke Liga Super merupakan keutamaan skuadnya ketika ini sementara kejayaan-kejayaan lain termasuk menjulang Piala FA dan Piala Malaysia hanya disifatkannya sebagai satu bonus.
Menurut beliau, setakat ini bayangan kesebelasan utama ketika menentang Betaria FC malam ini sudah ada, namun Sathianathan masih kekal berteka-teki mengenai perkara itu.
"Inilah kelebihan jika memiliki ramai pemain yang bagus. Penyerang tidak semestinya beraksi di posisi itu, saya boleh meletakkan pemain tersebut di bahagian sayap ataupun di bahagian tengah," katanya optimis.
Sathianathan dijangka menggunakan khidmat bekas awang import Kedah, Marlon Alex James bersama Zaquan Adha Abdul Razak dan Hairuddin Omar (Hai-O) di bahagian serangan sementara tugas menjaga gawang gol dijangka digalas oleh bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun.
Dalam pada itu, Sathianathan mengakui tidak begitu bimbang dengan prestasi semasa Hai-O yang dikhabarkan kurang cergas untuk diturunkan gara-gara kecederaan semasa sesi latihan sebelum ini.
"Kecederaannya dilihat tidak serius, saya pasti Hai-O boleh memberikan persembahan terbaik sepanjang 90 minit permainan sekiranya dia diturunkan esok (malam ini)," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...