PEMAIN PKNS, Mohd. Azrif Nasrulhaq (jersi merah) menyekat gerakan pemain Sabah, Sumardi Hajalan pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ Kelana Jaya semalam. - UTUSAN/Izham Jaafar |
KUALA LUMPUR - PKNS meleburkan pendahuluan dua gol dan hasrat mencipta kemenangan sulung sekali gus sekadar berkongsi mata dan diikat Sabah 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Dua gol pemain import tuan rumah, Mickael Nicoise, beberapa minit sebelum rehat dan sepakan percuma minit ke-52 sempat disaingi tandukan penyamaan pemain pelawat, Michael Baird dan jaringan sendiri Helmi Remeli, minit ke-74 dan ke-81.
Satu mata anak buah Abdul Rahman Ibrahim itu melonjakkan mereka ke tangga kesembilan di belakang Sarawak sementara Sabah turut memperbaiki kedudukan dan berkongsi lima mata dengan Selangor di tangga kelapan liga tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas teraju Liga Perdana 2012 daripada Pahang yang tidak beraksi apabila membenam Perlis 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam sekali gus mengumpul 11 mata.
Ia turut dibantu oleh kekalahan mengejut pasukan yang mulanya menduduki tangga ketiga, Sime Darby 2-1 kepada Johor di Stadium Pasir Gudang malah dipintas pula oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang menumpaskan Harimau Muda B 3-1.
Biarpun ditinggalkan jaringan pendahuluan pemain skuad bawah 19 tahun negara, Mohd. Norhamizaref pada minit ketujuh di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang, tuan rumah kembali bangkit dengan dua jaringan S. Venod dan Mohd. Faizat.
NS Betaria pula mencatat kemenangan sulung musim ini dengan mengejutkan lawan lebih berpengalaman, Pos Malaysia 3-2 di Stadium MP Selayang hasil jaringan Saufi Ibrahim, Fauzi Kadar dan M. Ravinthiran.
No comments:
Post a Comment