Saturday, January 14, 2012

Liga M: 8 pasukan layak ambil pemain import sehingga 13 Feb


PETALING JAYA 13 Jan. – Lapan pasukan Liga Malaysia termasuk Terengganu, yang sebelum ini tidak dapat menggunakan pemain import untuk saingan liga musim ini akibat kegagalan untuk menepati beberapa peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kini boleh menarik nafas lega.

FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import selama sebulan bermula hari ini sehingga 13 Feb depan demi memartabatkan liga bola sepak tempatan.

"Bagaimanapun pasukan terbabit terlebih dahulu harus merujuk pengambilan pemain import kepada Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan ketika membuat pendaftaran,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di sini, hari ini.

Mesyuarat lebih dua jam itu turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh merangkap ahli jawatankuasa (AJK) JKPT.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang bermesyuarat pada 22 Disember lepas meluluskan pengambilan 26 daripada 35 pemain import daripada beberapa pasukan negeri dan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...