TANPA mata di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, Melaka selepas Kuala Lumpur tewas pada perlawanan kedua di tangan T-Team 0-3 tidak memberi tekanan buat jurulatihnya, Razip Ismail.
Sebaliknya Razip tetap berbangga menerusi sumbangan 100 peratus anak tempatan tanpa sumbangan bintang asing berbanding lawan yang menurunkan dua awang import.
Menurutnya, anak buahnya diakui agak tenggelam pada babak pertama aksi dengan ruang gagal ditutup kemas untuk membolehkan Zairo Anuar Zailani menghasilkan gol pertama lawan pada minit ke-30.
Namun pemainnya menunjukkan peningkatan mendadak menerusi hantaran kemas dan melakukan percubaan menarik pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun, ketika serangan tersusun dicipta, T-Team mengambil kesempatan melakukan serangan balas yang menghasilkan jaringan kedua menerusi Zachariah Simukonda.
Katanya, selepas jaringan itu pemainnya masih melakukan gerakan yang menarik namun gol ketiga sekali lagi menerusi Zairo nyata melunturkan hasrat pemainnya untuk mencari jaringan semangat.
“Apapun saya akan memberi penekanan lebih agresif kepada pemain termasuk ketika bertahan dan menyerang untuk berdepan Lions XII di Singapura selepas ini.
“Walaupun diakui pertemuan lebih sukar tapi saya percaya pemain mampu memberi persefahaman lebih jitu untuk memberi tekanan kepada tuan rumah,” katanya.
Kuala Lumpur yang menjadikan Stadium Hang Jebat sebagai gelanggang sendiri juga dilihat pemainnya tidak janggal beraksi di situ, sambil Razip yakin anak buahnya mampu menyesuaikan diri sedikit masa lagi.
No comments:
Post a Comment