Friday, January 27, 2012

Ahmad Shabery sedia terima semula Brunei


Harian Metro

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai masalah untuk melihat kehadiran semula skuad kebangsaan Brunei pada saingan bola sepak Liga Malaysia sebagai salah satu usaha mengeratkan hubungan dua hala dalam bidang sukan.



Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Brunei boleh bersama-sama berbincang bagi menentukan mekanisma yang sesuai untuk memastikan perkara itu terlaksana.


“Kita tahu kerjasama dalam bidang sukan bukan saja membabitkan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga antara persatuan sukan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai perlawanan golf dengan rakan sejawatnya dari Brunei, Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Datuk Seri Setia Awang Hazir Awang Abdullah di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), semalam.



Brunei menyertai Liga Malaysia yang ketika itu dikenali dengan Liga Semi-Pro dari tahun 1989-1993 sebelum berpindah ke Liga Singapura pada 2009. Brunei sebelum itu pernah menjulang Piala Malaysia pada tahun 1999 selepas mengalahkan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka.


Ahmad Shabery berkata KBS juga akan memperkembangkan beberapa perkara yang boleh dijalinkan antara kedua-dua negara pada masa akan datang seperti penyertaan semula Brunei dalam Sukma.



“Dari segi belia umpamanya, kita akan mengundang Brunei untuk menghantar wakil mereka dalam sambutan Hari Belia Negara dan juga kerjasama lain yang akan berterusan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Awang Hazir berkata lawatan itu amat bermakna dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua kementerian itu selepas mereka memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Brunei tahun lalu.

“Kita turut melihat beberapa bidang lain yang boleh diperkembangkan dan mengenal pasti bidang baru dalam sukan dan belia yang boleh kita kembang dan majukan pada masa depan bagi memastikan hubungan erat antara kedua-dua negara akan dapat dikekalkan,” katanya.


Awang Hazir yang tiba Rabu lalu dengan rombongan seramai 15 orang akan mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke negara ini sebagai membalas kunjungan hormat yang dilakukan Ahmad Shabery tahun lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...