Tuesday, January 17, 2012

Pemain muda dihantar berlatih di luar negara - FAM


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang menghantar pemain muda untuk berlatih di luar di negara pada masa akan datang, kata Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal.

"Kini, kita sepatutnya mula mencari pemain muda dan sebab itu kita percaya bahawa program pembangunan belia dalam bola sepak sangat penting.

"Kita bukan hanya bercakap mengenai pemain yang kita ada pada hari ini. Pada masa akan datang, kita hendaklah mendidik pemain seawal umur 16 atau 17 tahun”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo rasmi 1Malaysia Cardiff City (1MCC) dan platform media sosial di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Pengerusi 1Malaysia Cardiff City dan Cardiff City FC, Datuk Chan Tien Ghee dan Pengurus Pasukan Cardiff City FC, Malky Mackay.

Subahan berkata, peluang untuk berlatih dengan pasukan terpilih di luar negara hendaklah diberikan kepada pemain yang lebih berkemampuan dan berbakat.

Mengenai penyerang kebangsaan Safee Sali dan kapten pasukan kebangsaan Shafiq Rahim berlatih dengan Cardiff FC, Subahan berkata, kedua-dua mempunyai pengalaman pada tahap berlainan dengan pasukan itu.

"Bagaimanapun, mereka bukan hanya pemain Malaysia yang kita ada. Ramai lagi pemain muda dan berbakat. Kita ada dua pemain kita dalam ranking di bawah - 23 Asian All-Star — Khairul Fahmi Che Mat dan Mohamad Fadhli Mohd Shas.

"Bagi saya, tumpuan kita hendaklah pada pemain muda seperti Fadhli Shas, Muslim Ahmad. Mereka adalah contoh individu yang ada kesan besar jika dihantar ke luar negara,” kata beliau.

Subahan berkata, FAM bukan hanya menimbangkan untuk menghantar pemain menjalani latihan di Eropah tetapi juga di sesetengah negara utama Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China.

Sementara itu, Tien Ghee berkata, beliau akan mengalu-ngalukan pemain Malaysia lain untuk berlatih dengan pasukan Wales.

"Sebab utama kenapa kita bawa Safee dan Shafiq ke Cardiff ialah untuk memberikan pendedahan kepada mereka. Selain itu, terpulanglah kepada mereka.

Dengan memberikan pendedahan kepada mereka, mereka akan memahami apa yang ada di dunia lain atau dalam liga yang berlainan.

"Kita mengalu-ngalukan calon lain dan kita ingin terus melakukan itu kerana kita adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia dan apa yang lebih baik ialah dengan memberikan pendedahan kepada pemain dari negara kita,” kata beliau. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...