BARU satu perlawanan Liga Super berlangsung musim ini, kontroversi sudah menghimpit Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Semuanya gara-gara rasa tidak puas hati Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said terhadap masalah pengambilan pemain import pasukan negerinya sehingga ke tahap mahu memboikot dan menyaman badan induk bola sepak tanah air itu.
Ternyata kenyataan Ahmad yang mendapat liputan meluas akhbar tempatan semalam itu amat mengejutkan dan dipandang serius FAM apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) akan mengadakan mesyuarat khas hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai isu itu, Pengerusi JKPT, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan membuka mulut untuk memberi sebarang penjelasan berhubung tindakan ‘orang kuat’ pasukan Terengganu itu sehingga mesyuarat selesai.
“Hanya dua perkara saya ingin jelaskan di sini. Pertama, saya tidak mahu memberikan komen lanjut buat masa ini kerana FAM akan mengadakan sidang media esok (hari ini).
“Bagi saya apa yang diperkatakan oleh MB (Ahmad) itu sudah saya jelaskan sebelum ini.
“Perkara kedua, saya dan pihak JKPT sememangnya memandang serius perkara ini dan apa saja keputusan akan kami umumkan selepas mesyuarat esok (hari ini),” katanya ringkas ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Tindakan FAM tidak membenarkan Terengganu menggunakan dua pemain import atas alasan pendaftaran lewat dari tarikh ditetapkan pada 8 Disember lalu itu mengundang rasa tidak puas hati Ahmad yang mendakwa pekeliling dikeluarkan FAM menyatakan Terengganu boleh mendaftar pemain import selewat-lewatnya pada 9 Januari lalu.
Dua pemain import terbabit adalah penyerang dari Liberia, Francis Doe Forkey dan pemain tengah Brazil, Erison Da Silva Santos Carnietto.
Keputusan tegas FAM menyebabkan kerajaan negeri Terengganu yang membiayai sebahagian kos menguruskan pasukan Liga Super, Terengganu dan T-Team mengalami kerugian kerana sudah menawarkan kontrak kepada pemain itu.
No comments:
Post a Comment